Enam bomba maut  berpunca lemas di pusaran air

Enam bomba maut berpunca lemas di pusaran air

Enam penyelam bomba yang lemas ketika mencari remaja yang dilaporkan terjatuh ke sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong semalam, terperangkap dalam pusaran air.

Hujan lebat menyebabkan arus kuat sekali gus membentuk pusaran di lokasi kejadian dan pihak berkuasa percaya remaja berkenaan berada dalam pusaran terbabit.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid, berkata keenam-enam anggota bomba Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terkorban bergelut untuk keluar dari pusaran terbabit namun gagal.

“Anggota di lokasi cuba mengeluarkan semua mangsa dan bantuan kecemasan turut diberikan namun mereka gagal diselamatkan.

“Kita dapati terdapat penghadang banjir di lokasi dan hujan yang lebat mengakibatkan aliran air deras dan melimpah ke tebing.

“Bagaimanapun, kita akan lakukan siasatan dalaman supaya dapat elakkan kejadian ini daripada berulang pada masa akan datang,” katanya seperti dilapor bharianonline semalam.

Empat anggota PPDA Pelabuhan Klang yang lemas adalah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim,32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, manakala Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 adalah anggota PPDA Shah Alam.

Dua lagi mangsa adalah daripada Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat malam tadi.

Semua jenazah kemudiannya ke Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam untuk solat jenazah dan akan diberikan penghormatan terakhir hari ini.

 

CATEGORIES
TAGS