Haiwan kecil yang tangkas, tupai dipilih sertai pasukan polis China

Oleh KIM SYAZIE

Polis wilayah Chongqing, China melatih ‘sepasukan’ tupai merah jenis Eurasia untuk membantu anggota menghidu dadah dalam operasi.

Media negara itu melaporkan, haiwan tangkas itu dipilih kerana fizikal tupai yang kecil serta pergerakannya juga tidak terbatas.

Ciri-ciri tersebut membuatkan tupai boleh pergi ke tempat yang lebih tinggi dan bebas melakukan tugasnya berbanding anjing pengesan.

Haiwan jenis rodensia itu ditempatkan di sub-unit di bawah briged anjing wilayah itu dan bakal di hantar untuk mengesan dadah.

Tupai itu akan dihantar ke gedung besar sebagai contohnya gudang logistik bagi mendedahkan lokasi musuh nombor satu negara itu.

Menurut polis Chongqing, sekiranya haiwan itu berjaya menjumpai narkotik, mereka telah dilatih untuk mencakar barangan seperti kotak.

Pelatihnya yang juga merupakan pengendali anjing pengesan berpendapat kaedah mereka berjaya dan haiwan itu cukup cekap menjalankan tugas mereka.

“Saintis sudah lama menyedari deria bau tupai namun kaedah melatih haiwan itu ternyata tidak cukup maju sehingga kini,” jelas laporan tersebut.

Pengenalan tupai pengesan dadah pertama di China itu merupakan sebahagian dari projek penyelidikan dan pembangunan utama negara republik itu.

Baca juga: Lelah dikecam mata duitan, Fatin Afeefa akui penat tanggung biawak hidup