Malaysia Dateline

Enam jam lari dari hospital, pesakit Covid-19 akhirnya dicekup di tebing sungai

Enam jam melarikan diri dari Hospital Umum Sarawak (HUS), akhirnya seorang pesakit Covid-19 berjya ditahan di kawasan berdekatan tebing sungai di Satok kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Lelaki berusia 28 tahun berkenaan disedari hilang dari Wad Perubatan Lelaki di Tingkat 6 HUS, pada jam 8.15 pagi.

Kakitangan HUS cuba menghubungi telefon bimbit lelaki yang berasal dari Kampung Tambirat Hilir, Asajaya itu, tetapi gagal.

Ekoran itu, pihak hospital kemudiannya menghubungi Balai Polis Sentral, Kuching untuk mendapatkan bantuan mengesan lelaki terbabit.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata susulan maklumat itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menubuhkan pasukan khas untuk melancarkan Ops Kesan.

“Lelaki itu sudah diserahkan semula kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM)” katanya.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit.