Malaysia Dateline

Enam jemaah Malaysia dalam keadaan kritikal, kata Fuziah

Enam jemaah haji Malaysia yang sedang dirawat di sebuah hospital di sini berada dalam keadaan kritikal.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, jemaah haji berkenaan mengalami pelbagai penyakit kritikal seperti masalah jantung, jangkitan paru-paru dan tibi serta berada dalam keadaan koma.

Beliau bagaimanapun meminta ahli keluarga supaya tidak bimbang kerana hospital Arab Saudi menyediakan rawatan terbaik kepada enam jemaah berkenaan.

“Mereka ada sejarah penyakit tersebut selain terpaksa berhadapan dengan persekitaran yang mencabar di sini,” katanya.

Menurut Fuziah, sembilan jemaah haji telah meninggal dunia setakat musim haji kali ini dengan kematian terbaharu melibatkan seorang jemaah wanita malam semalam.

Katanya, Faridah Abdul Latip, 65, dari Kuala Rompin, Pahang meninggal dunia selepas melontar jamrah pada jam 7.05 petang waktu tempatan (12.05 pagi waktu Malaysia).

“Allahyarhamah meninggal dunia ketika dalam perjalanan balik ke khemahnya kerana menghadapi serangan jantung dalam terowong Muassim dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Tambah Fuziah, terdapat 79 jemaah lain yang dirawat di Pusat Rawatan Syisyah TH dibawah ke Arafah untuk berwukuf di bawah program Wukuf Safari.

Di bawah program tersebut, pesakit-pesakit dibawa ke Arafah pada waktu wukuf dengan menaiki ambulan dan bas khas bagi membolehkan mereka menunaikan rukun haji.

Katanya, pasukan perubatan pada musim haji tahun ini merangkumi 23 pakar perubatan, 38 pegawai perubatan dan 226 kakitangan perubatan.- Bernama