Malaysia Dateline

Enam kali bersidang dan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat akan terus bersidang

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 memaklumkan telah bersidang sebanyak enam kali sejak mesyuarat pertamanya pada 18 Februari lalu.

Menerusi kenyataan hari ini, jawatankuasa itu berkata, kesemua mesyuarat terbabit telah dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria dengan kehadiran secara fizikal dan juga sidang video.

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dalam siri mesyuaratnya telah menerima pelbagai pembentangan berhubung situasi semasa pandemik Covid-19 daripada kalangan individu, pakar-pakar kesihatan serta bidang-bidang berkait,” katanya.

Menurut jawatankuasa dianggotai 19 ahli itu lagi, pihaknya secara konsensus bersetuju dengan penetapan beberapa kriteria dan threshold dalam membuat penilaian berhubung kewujudan berterusan darurat dan penamatannya.

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 akan terus bersidang dari semasa ke semasa dalam membuat penilaian berhubung kewujudan berterusan darurat atau penamatannya,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jawatankuasa yang ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Dalam masa sama, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berperanan sebagai urus setia jawatankuasa tersebut.

Senarai Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021:

1. Tun Arifin Zakaria, bekas Ketua Hakim Negara – Pengerusi

2. Tan Sri Samsudin Osman, bekas Ketua Setiausaha Negara

3. Tan Sri Norian Mai, bekas Ketua Polis Negara

4. Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, bekas Panglima Angkatan Tentera

5. Prof. Tan Sri Dr. Mohamad Taha Arif, bekas Ketua Pengarah Kesihatan

6. Tan Sri Dr. Yahya Awang, pakar bedah jantung

7. Tan Sri Ter Leong Yap, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian

Cina Malaysia

8. Tan Sri Dr. R. Palan, Pro-Canselor Universiti Cyberjaya

9. Dato’ Setia Sallehuddin Saidin, bekas Timbalan Pendakwaraya Pejabat Peguam

Negara

10. Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis

11. Prof. Datu Dr. Andrew Kiyu Dawi anak Usop, pakar kesihatan awam

12. Tan Sri Sukarti Wakiman, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

13. Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Tanjung Karang

14. YB Datuk Sri Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Batang Lupar

15. YB Datuk Azizah Mohd. Dun, Ahli Parlimen Beaufort

16. YB Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, Ahli Parlimen Pasir Puteh

17. YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu

18. YB Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Seremban

19. YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor