Malaysia Dateline

Enam MP AMANAH bangun sokong undi belah bahagi

Enam Ahli Parlimen AMANAH bangun untuk memohon undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 dibuat manakala lima lagi tidak bangun, kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad membetulkan kenyataan beliau sebelum ini.

Ke enam-enam mereka adalah Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Khalid Abd Samad (Shah Alam), Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut), Hasanudin Mohd Yunus (Hulu Langat), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).

Yang tidak bangun adalah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (Kota Raja), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai), Anuar Tahir (Temerloh), Datuk Dr Mujahid Yusof (Parit Buntar) dan Dr Hassan Baharon (Tampin).

Sebelum ini, Khalid berkata, lapan MP AMANAH menyokong cadangan ini.

“Ketika kita menolak Belanjawan ini, kita juga menghormati keputusan Ketua Pembangkang yang tidak mahu kita membuat undi belah bahagi. Sebab itu, sebahagian kami menyokong cadangan undi belah bahagi dan sebahagian lagi menjadi hubungan dengan PH,” kata Khalid.

Selain enam MP berkenaan yang bangun, ke empat-empat MP dari kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah bangun menyokong cadangan undi belah bahagi yang dicadangkan oleh Mahfuz.

Selain enam AMANAH dan empat Pejuang, tiga lagi yang bangun untuk menyokong cadangan Mahfuz adalah Hassan Karim (PKR – Pasir Gudang), Baru Bian (PSB – Selangau) dan Mordi Bimol (DAP-Mas Gading).