Malaysia Dateline

Enam MP dijadual dirakam keterangan mulai pagi ini

Sejumlah Ahli Parlimen pembangkang akan dirakam keterangan sehingga petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mulai jam 10 pagi ini.

Sekurang-kurangnya enam Ahli Parlimen dipanggil berbuat demikian susulan berhimpun di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mendahului senarai pada jam 10 pagi ini diikuti Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil setengah jam kemudian.

Seterusnya, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dijadualkan diambil percakapan pada jam 11 pagi.

Giliran dua lagi wakil rakyat masing-masing dari DAP dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bakal memberi keterangan pada jam 2.30 petang.

Mereka ialah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.