Malaysia Dateline

Enam pengerusi MPN PKR beri sokongan penuh kepada Anwar

Enam Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah Datuk Johari Abdul, Pengerusi MPN Perlis, Amran Kamarudin; Pengerusi MPN Melaka, Halim Bachik; Pengerusi MPN Terengganu, Azan Ismail; Pengerusi Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan dan Pengerusi MPN Kelantan, Datuk Seri Mohamad Supardi Md.

Keenam-enam mereka hari ini menandatangani surat sokongan terhadap Anwar pada mesyuarat pertama Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri di sini, hari ini.

Johari yang bertindak sebagai penyelaras majlis itu berkata mesyuarat berkenaan juga menyokong penuh usaha presiden membangun parti dan menjadikan PKR parti yang kuat serta dihormati di negara ini.

“Kami berdiri teguh di belakang beliau dan menghadapi apa jua cabaran dan dugaan jika ada pihak-pihak yang mahu melemahkan parti,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pertama majlis berkenaan hari ini sekali gus mengumumkan penubuhan majlis itu.

Mereka juga memberi komitmen tidak berbelah bahagi kepada Anwar dalam usaha beliau memimpin negara ke tahap lebih yang diharapkan oleh rakyat.

“Kami yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang pemimpin yang akan menunaikan janji-janji parti kepada rakyat semasa pilihan raya yang lalu dan kami sama-sama beliau untuk pastikan semua ini terlaksana,” katanya.

Sementara itu, menurut Johari lapan lagi Pengerusi MPN dijangka menandatangani petisyen itu dalam satu perjumpaan tertutup dengan Anwar di Port Dickson petang ini.

Johari berkata penubuhan Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri adalah bagi menjadi pasukan untuk memastikan penyelesaian permasalahan rakyat di negeri-negeri dan memastikan janji manisfesto ditunaikan.