Enam soalan untuk orang parti Amanah, sila jawab

Enam soalan untuk orang parti Amanah, sila jawab

Mengapa perlu ditubuhkan Parti Amanah Negara?

Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan untuk menjadi sebuah parti Islam yang bersama-sama membangun semula negara tercinta ini. Amanah bercita-cita menjadi sebuah parti Islam benar-benar Inklusif yakni dianggotai pelbagai kaum dan agama, dari pelbagai latar sosio-budaya. Amanah, parti yang bersifat progresif yang sentiasa mendepani cabaran baru dan mendatang. Amanah menghayati sifat peduli, justeru mendukung Islam sebagai agama “Rahmah Untuk Semua dan Seluruh Alam”.

Amanah tampil untuk mengisi posisi yang ditinggalkan Pas yang mula mengambil pendekatan jalur pemikiran dan ketuanan Melayu-lslam yang eksklusif, hilang tasaamuh (toleransi) terhadap perbezaan serta cepat menjatuhkan hukuman keras terhadap golongan yang berbeza pandangan.

Pastinya Amanah memposisi parti ini untuk meneruskan legasi pemikiran Al-Marhum Tok Guru Nik Abd Aziz dan Ustaz Fadzil Noor dalam Tahaaluf Sisyasi-Muafakat Politik dalam Pakatan Harapan kini.

Apakah Pakatan Harapan?

Pakatan Harapan adalah pengganti kepada Pakatan Rakyat yang terbubar apabila Pas mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dan kini telah membentuk blok ketiga bersama Parti Ikatan.

Pakatan Harapan adalah kesinambungan kepada Pakatan Rakyat iaitu pakatan parti-parti pembangkang bagi berhadapan dengan BN yang telah banyak merosakkan negara dan menzalimi rakyat kerana terbabit dengan pelbagai rasuah dan penyelewengan serta ketirisan dalam pengurusan khazanah negara seperti dilambangi dengan ‘mercu-tanda’ 1MDB, bikinan Najib.

Matlamat Pakatan Harapan adalah menggantikan BN untuk memerintah negara. Satu gabungan yang kuat yang merangkumi parti pelbagai kaum dan agama yang setelah melakukan semak dan imbang terhadap kerakusan BN, bersedia untuk menewaskan dan menggantikan BN memerintah negara.

Inilah harapan baharu untuk Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat.

Orang kata Amanah tunggangan DAP. Betulkah begitu?

Sebutan ‘Amanah menjadi tunggangan DAP’ adalah fitnah musuh-musuh politik Amanah. Kalau benar bagai dikata, sila kemukakan bukti. Kalau tidak ada, janganlah panjang-panjang fitnah ini.

Mereka menyangka fitnah sebegini dapat mencemarkan imej kami sekaligus menghalang penghijrahan ahli parti mereka ke parti Amanah. Nampaknya kecaman yang dibuat Umno terhadap PAS sebagai kuda tunggangan DAP dahulu, kini digunakan PAS terhadap Amanah pula. Amat malang.

Amanah mempunyai struktur organisasi dan sistem syura atau sistem membuat keputusannya yang tersendiri. Sebarang keputusan yang dibuat oleh Amanah adalah melalui sistem syuranya sendiri. Sistem syura ini mustahil dikawal oleh DAP.

Sebelum ini, tidakkah Pas telah mengadakan kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat? Amanah hanya meneruskan peranan ini yang telah terbukti berjaya melemahkan BN. Ia sebuah koalisi yang mana semua keputusan dibuat secara bersama atau konsensus, tidak timbul soal kuda tunggangan atau khadam parti tertentu.

BN akan terus berusaha untuk memecah belahkan pakatan pembangkang yang baharu ini selepas berjaya memecah belahkan Pakatan Rakyat sebelum ini. Rakyat yang mahukan pembangkang (Pakatan Harapan) menggantikan BN tidak harus terpengaruh dengan fitnah jahat ini.

Pas sudah ada. Perlukah ada Amanah?

Amanah perlu wujud untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pas setelah Pas dilihat mula mengambil pendekatan yang berbeza dan kurang mesra terhadap rakyat terbanyak daripada pelbagai kaum dan keturunan, malahan Pas mula berbaik-baik dengan Umno BN serta beralih angin menjadi penasihat kerajaan dan agak enggan untuk berdepan mengkritik penyelewangan BN, jauh lagi untuk merubah atau menumbangkan kerajaan BN ini.

PAS juga kini telah mula mengambil pendekatan yang kurang mesra dengan pelbagai pihak termasuk yang bukan Islam dan kelompok Islam lain yang berbeza pendapat dengannya, malahan pihak yang berbeza pandangan dengannya dianggap sebagai musuh dan lawan.
Pada masa yang sama, Amanah berhasrat menjadi parti Islam yang progresif, inklusif, mengambil berat kebajikan masyarakat dan negara serta menentang kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh BN terhadap rakyat dan negara. AMANAH membawa seruan Islam Rahmatan lil ‘Aalamin.

Kenapa AMANAH menyertai PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sedangkan PAS bertanding?

Amanah menyertai PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana ingin menjadi pesaing utama dalam menyuarakan kebenaran serta membantah kezaliman dan kerakusan BN di Parlimen.

Ahli-ahli Parlimen Pas sekarang tidak banyak membantah BN di Parlimen dan sering mengambil pendirian berkecuali dalam banyak isu. Kita tidak perlu menambah lagi wakil Pas jika begitu sikap mereka di Parlimen.

Menambah ahli Parlimen daripada Amanah akan mengukuhkan lagi suara pembangkang dan rakyat dalam Parlimen sekarang ini bagi mengekang kerakusan dan kezaliman BN.

PAS sering melabelkan ahli-ahli parlimen Amanah sebagai pengkhianat kerana membawa lari kerusi Parlimen yang dimenangi atas tiket Pas. Mereka dikatakan harus meletak jawatan dan bertanding semula atas tiket Amanah.

Undang-undang Malaysia memperuntukkan bahawa mana-mana ahli parlimen yang meletak jawatan sebagai ahli parlimen atau ADUN tidak dibenarkan bertanding semula dalam masa lima tahun. Cadangan untuk ahli parlimen Amanah meletak jawatan dan bertanding semula adalah satu cadangan yang tidak berpijak di bumi nyata.

Tambahan pula ahli parlimen Amanah menang dalam PRU-13 yang lalu atas tiket Pakatan Rakyat. Mereka menggunakan logo Parti Pas kerana Pakatan Rakyat tidak diluluskan pendaftarannya sebagai satu gabungan parti politik. Pakatan Rakyat telah memperoleh 52 peratus undi popular dalam PRU-13.

Negara kita mempunyai undang-undang. Perselisihan ini wajar diselesaikan mengikut undang-undang, bukan tafsiran unilateral atau sebelah pihak PAS sahaja.

COMMENTS

Wordpress (0)