Trajedi MH17: Enam waris kemuka saman kepada MAS dan MAB

Trajedi MH17: Enam waris kemuka saman kepada MAS dan MAB

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Waris kepada enam anak kapal pesawat MH17 hari ini memfailkan saman kecuaian dan pelanggaran kontrak terhadap Malaysia Airlines System (MAS) dan Malaysia Airport Berhad (MAB) berhubung kehilangan anggota keluarga mereka dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, 17 Julai 2014.

Waris kepada Shazana Mohamed Salleh, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, Sanjid Singh Sandhu, Mohd Ghafar Abu Bakar, Lee Hui Pin dan Chong Yee Pheng memfailkan saman itu melalui Tetuan Thomas Philip di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Mereka menamakan MAS dan MAB sebagai defendan pertama dan kedua.

Mengikut pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa MAS telah cuai kerana melaksanakan penerbangan MH17 di kawasan yang diketahui berada di bawah konflik bersenjata yang menimbulkan risiko bahaya dan kematian.

Mereka mendakwa kedua-dua defendan melaksanakan penerbangan kurang daripada 1,000 kaki atas ruang udara yang disekat dalam penerbangan itu iaitu ketinggian yang tidak digunakan oleh pesawat lain.

Plaintif mendakwa MAS juga telah cuai kerana menghantar dan melaksanakan penerbangan MH17 di bahagian paling utara Koridor Penerbangan Komersial Ukraine, gagal mempunyai apa-apa sistem penilaian risiko dan gagal mengambil kira ketidakstabilan berkenaan penerbangan di bahagian timur Ukraine.

Mereka juga mendakwa MAS telah melanggar kontrak dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan si mati, gagal memastikan terdapat kakitangan untuk penilaian risiko, anak kapal penerbangan dan kakitangan operasi.

Kesemua plaintif menegaskan bahawa defendan kedua iaitu MAB bertanggungjawab di sisi undang-undang dan fakta untuk menanggung kerugian plaintif dan menjamin pembayaran ganti rugi yang diperintah untuk dibayar oleh MAS kepada plaintif.

Mereka juga menegaskan bahawa MAS dan MAB bertanggungjawab di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974, Konvensyen Montreal 1999 dan/atau Akta Undang-undang Sivil 1956 untuk kematian si mati.

Mereka memohon ganti rugi am untuk kesakitan dan penderitaan, ganti rugi khas, ganti rugi menurut Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974, ganti rugi menurut Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan ganti rugi bagi kecederaan psikiatri trauma, kejutan saraf dan gangguan tekanan trauma.

Plaintif juga menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah, kos dan apa-apa relif lanjut dan/atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Dipercayai pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

TAGS