Malaysia Dateline

Enggan bayar caj air P.Pinang terpaksa guna air selut, kata Sanusi

Kerajaan Kedah yang sedang merancang beberapa projek dijangka memberi impak terhadap aliran air Sungai Muda yang pada masa ini menjadi sumber air mentah Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ekoran itu negeri Pulau Pinang terpaksa menggunakan “air selut” jika kerajaan negeri itu berkeras enggan membayar caj air mentah kepada Kedah.

Sanusi berkata, projek yang akan dilaksanakan akan memberi masalah kepada Pulau Pinang jika tidak membayar caj air mentah.

“Tak apa dia gunalah (secara percuma), sampai hari keluar air selut, dia gunalah air (selut) tu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Yan, hari ini.

Sanusi yang pernah menyatakan kesediaan untuk bersemuka di mahkamah berhubung isu itu bagaimanapun berkata pihaknya masih membuka ruang kepada Pulau Pinang untuk menyelesaikan perkara tersebut secara timbang tara.

“Proses (perbincangan isu air) mungkin sampai ke peringkat mahkamah, tapi saya akan mohon kerjasama kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk adakan proses timbang tara bagi mengatasi hal ini.

“Kalau timbang tara itu tidak dapat dijayakan mungkin proses ini akan ke mahkamah… Saya akan pergilah ke hujung dunia pun untuk lawan perkara ini,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow baru-baru ini yang dilaporkan enggan memanjangkan isu penggunaan sumber air dari Sungai Muda, sebaliknya memilih untuk mempertahankan hak riparian negeri itu di mahkamah.