Enggan bermain ‘Mobile Legends’ lelaki terima 10 jahitan di dahi akibat dipukul

Oleh KIM SYAZIE

Berpunca dari permainan video atas talian ‘Mobile Legends’, dua lelaki cedera parah akibat dipukul di sebuah stesyen minyak di Melaka.

Kejadian itu bermula apabila seorang pelayan restoran diajak untuk menemani rakannya bagi menyelesaikan salah faham.

Apabila sampai di lokasi, terdapat beberapa lelaki bermotosikal sudah menunggu di stesyen minyak itu.

Tidak lama kemudian, muncul sekumpulan lagi lelaki datang dan terus memukul rakannya sebelum lelaki itu datang membantu.

Akibat daripada insiden itu, rakannya cedera sehingga harus menerima 10 jahitan di dahi dan dirawat di Hospital Melaka.

Pengadu yang cuba membantu rakannya itu pula menerima jahitan di kepala dan patah tulang hidung akibat dihempuk topi keledar.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tujuh lelaki telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pergaduhan itu.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan itu tercetus berikutan rasa tidak puas hati kerana maki hamun ekoran keengganan bermain Mobile Legends.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah dan melakukan gaduh gempar.” Katanya.

Baca juga: Menuduh tanpa bukti, MP Pas tarik balik dakwaan kerajaan sokong LGBT