Enggan runding kerusi pilihan raya bakal rugikan PAS

Enggan runding kerusi pilihan raya bakal rugikan PAS

Keputusan PAS tidak mahu menyerahkan kerusi kepada parti pembangkang lain dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dikhuatiri merugikan parti itu untuk jangka masa panjang dan menguntungkan Umno BN untuk jangka masa pendek.

Noor Amin AhmadKeputusan PAS tidak mahu menyerahkan kerusi kepada parti pembangkang lain dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dikhuatiri merugikan parti itu untuk jangka masa panjang dan menguntungkan Umno BN untuk jangka masa pendek.

Pengarah Institut Kajian Kepimpinan dan Pembangunan (LEAD) Noor Amin Ahmad berkata, tindakan PAS mahu bersendirian pada PRU akan mengekalkan status quo atau memecahkan barisan pembangkang berbanding memberi saingan kepada Umno-BN.

“Umno BN akan mempunyai kelebihan dan untuk jangka panjang PAS akan dilihat hanya mementingkan diri sendiri.

“PAS akan bertembung dengan Umno di banyak kerusi walaupun jika mereka bertanding di kerusi yang sebelum ini ditandingi PKR,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ijtimak pilihan raya PAS Selangor di Kuala Selangor Ahad lalu berkata, parti itu tidak akan meNyerahkan walaupun satu kerusi kepada parti pembangkang lain termasuk Pakatan Harapan.

Sementara itu pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata PAS akan menambah lima kerusi lagi di negeri itu menjadikan 25 kerusi berbanding 20 kerusi pada PRU13.

Amin yang juga pengurus projek dan operasi di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) turut berkata, PAS boleh memilih bertanding sendiri tetapi tidak
wajar mempersoalkan parti lain mengintai kerusi mereka kerana kekuatan bertanding sendiri dan bertanding sebagai sebuah kerjasama politik dengan pelbagai parti adalah berbeza.

“Bertanding sendiri, jika menang ada kelebihan dan kekurangan tertentu. Lebihnya jika kerjasama politik tidak cukup kerusi dan memerlukan PAS untuk berkuasa.

“Kurangnya ialah PAS akan dilihat sebagai parti yang tidak berkongsi mana-mana visi tetapi hanya akan mengambil kesempatan atau bersikap oportunis,” kata bekas pengarah komunikasi menteri besar Selangor ini.

Menurut beliau juga, jika majoriti PAS tidak cukup tetapi parti itu mempunyai banyak kerusi, mereka tetap memerlukan kerjasama politik sama ada dengan Umno-BN atau Pakatan Harapan melainkan PAS menang dan menjadi majoriti.

“Kekuatannya akan berbeza. Bayangkan PAS dalam pilihan raya sudah bermatian berkempen memburukkan Umno-BN atau mengambil kerusi mana-mana parti dalam Pakatan Harapan?

“Ini yang terjadi ketika parti AKP hendak membentuk pemerintahan di Turki. Meskipun majoriti besar, apabila tidak cukup kerusi, rundingan awal gagal untuk membentuk pemerintahan baru.

“Sebahagiannya kerana percanggahan dasar dan sebahagian lagi kerana luka daripada perbezaan pandangan yang tidak ditangani dengan hemah sebaliknya dipertajamkan lagi dengan nista,” katanya.

TAGS