Malaysia Dateline

Engkar titah: Kerajaan Mahiaddin menanti tulah

Apabila media sosial Istana Negara muat naik poster kenyataan @ titah YDPA berhubung pembukaan segera parlimen, arahan “Parlimen perlu diadakan secepat mungkin” telah diboldkan oleh pihak Istana.

Ia bermaksud penegasan, mungkin respon kepada tingkah laku wakil kerajaan yang tidak endah titah YDPA dan MRR melalui Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja Raja berhubung perkara tersebut, maka ia mesej sekali lagi bahawa YDPA serius mahukan Parlimen bersidang segera.

Kerajaan Mahiaddin Md Yassin terus menerus memekakkan telinga. Bahkan cuba menjustifikan bahawa sasaran pembukaan pada September sebagai “segera” yang dimaksudkan oleh YDPA.

Mereka cuba membohongi rakyat bahawa mereka sedang lakukan apa yang YDPA titahkan, hakikatnya mereka sedang terdesak dan secara terbuka menderhaka kepada Istana.

Mahiaddin sebelum ini seolah cuba menjadikan Istana sebagai perisai terhadap kritikan sekiranya dia mengantung parlimen, jadi masyarakat melihat Istana yang membenarkan darurat, jadi mestilah istana restu gantung parlimen.

Namun, hakikatnya ia adalah langkah peribadi Mahiaddin bagi mengekalkan kuasa kerana seawal Februari lagi YDPA memberi signal bahawa parlimen boleh bersidang ketika darurat, kerana Istana tahu benar bahawa ia adalah ruang semak imbang dalam pentadbiran.

Adalah tiada keperluan untuk YDPA keluar kenyataan “parlimen dibenarkan bersidang ketika darurat” jika hanya untuk berkongsi pengetahuan am kepada rakyat jelata melainkan untuk meminta Mahiaddin membuka parlimen. Ketika itu, Mahiaddin masih buat buat pekak,  langsung tidak endah.

Setelah beberapa bulan signal itu tidak diendahkan, dan keadaan negara kerana pendemik Covid-19 semakin memburuk, sekali lagi YDPA dan Majlis Raja Raja mengeluarkan titah untuk parlimen segera bersidang, iaitu lebih tegas dari tindakan awal yang hanya memberitahu bahawa parlimen dibenarkan bersidang.

Dengan penegasan tersebut, maka sewajarnya kita melihat Mahiaddin segera respon dengan bertanggungjawab terhadap concern Istana.

Namun begitu, malangnya Mahiaddin dan konconya sekali lagi memekakkan telinga dan buat tidak endah terhadap titah YDPA.

Lebih buruk, Takiyuddin Hassan selaku Menteri Undang-undang dengan gelak ketawa menyebut bahawa YDPA minta segerakan tapi tidak menetapkan tarikh.

Jadi menurutnya, September juga boleh jadi segera.

Sekaligus kita dapat lihat respon kerajaan hari ini terhadap titah YDPA dan ketetapan Majlis Raja Raja seolah tidak penting dalam menentukan hala tuju negara.

Dan menurut adat Melayu, dengan penderhakaan ini, kerajaan Mahiaddin kini menanti tulah, iaitu kecelakaan yang menimpa kepada yang derhaka kepada Sultannya.

——————-

Penulis adalah Setiausaha Pemuda Amanah Terengganu.