Malaysia Dateline

‘Engkau sebar RM600 bilion, sekarang kata mengelirukan’

“Engkau yang sebar kata RM600 bilion, sekarang kata mengelirukan.” Itulah jawapan netizen kepada kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Dalam kenyataannya kepada media, Wan Saiful berkata, isu RM600 bilion yang dibelanjakan oleh kerajaan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin semasa Covid-19 adalah rekaan dan mengelirukan.

Padahal, angka RM600 bilion itu yang disebarkan oleh Perikatan Nasional (PN) sendiri semasa kempen PRU-15 baru-baru ini.

Ia dijadikan kempen untuk menunjukkan kerajaan pimpinan Mahiaddin prihatin kepada rakyat dan berbelanja besar untuk membantu rakyat ketika Covid-19.

Ekoran angka yang begitu besar itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia perlu disiasat bagaimana ia dibelanjakan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan siasatan awal mereka mendapati RM95.5 bilion sahaja duit kerajaan dibelanjakan untuk Covid-19.

Selebihnya bukan duit kerajaan digunakan untuk membantu rakyat menghadapi Covid-19. Ekoran itu, siasatan SPRM sekarang tertumpu kepada bagaimana duit RM95.5 bilion itu dibelanjakan.

Anwar sebelum ini berkata, sebahagian dari RM600 bilion itu adalah duit rakyat yang dikeluarkan dari KWSP bukannya duit yang kerajaan belanjakan sebagaimana didakwa PN dalam kempen mereka.

“RM600 bilion hanya rekaan,” kata Wan Saiful dalam kenyataannya semalam.

“PN yang mula kata RM600B, sekarang kata lain,” kata Zaim Syarafi yang berkicau melalui Twitter mengulas kenyataan Wan Saiful itu.

Beliau menyertakan poster kempen PN (gambar atas) yang mendakwa kerajaan Mahiaddin membelanjakan RM600 bilion untuk Covid-19.

“Korang dok canang 600 bilion pasai apa?. Bila org siasat kata kita plak mengelirukan,” kata Luqman kz mengulas kenyataan PN itu.

Sulaiman Zakaria pula berkata, “Tak kesah lah… kita tengok nanti ketirisannya berapa bilion…42 juta pun ke dalam bang.”

PN didakwa berbelanja besar sepanjang kempen PRU-15 termasuk untuk membayar pemain sosial media, membuat iklan di akhbar, menganjurkan majlis yang mewah-mewah dan menaikkan poster dan banner yang terlalu banyak.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari antara orang yang awal membangkitkan isu dana RM600 bilion dan bertanya bagaimana ia dibelanjakan.

Malam tadi, Adly diumumkan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri Anwar.

BACA JUGA Adly, Aiman Athirah antara dilantik Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan