Malaysia Dateline

Enigma Mahathir

Sosok tubuh itu masih memberi bekas kepada perkembangan politik negara. Walaupun usianya sudah menjangkau 96 tahun dan tidak memegang apa-apa jawatan penting, bekas perdana menteri dua era itu — 22 tahun di era BN dan 22 bulan di era PH — masih lagi berbisa.

Ramai yang masih menghormatinya sebagai teknokrat pembangunan negara, tak kurang juga yang mencerca. Itu perkara biasa bagi orang politik. Tetapi bila cercaan itu datang dari pihak pembangkang, dan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri memposisikan dirinya sebagai pembangkang, ia perlukan penjelasan atau paling kurangpun pencerahan.

Di pihak kerajaan, Mahathir pastinya musuh yang tidak boleh dipandang ringan. Memanglah ada usaha untuk memencil dan memperkecilkan keberadaan beliau di pentas politik negara. Paling akhir, permohonan beliau untuk mendaftarkan parti baru yang diberi nama Pejuang ditolak Pejabat Pendaftar Pertubuhan tanpa sebarang alasan. Pejabat Pendaftar Pertubuhan berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Menterinya adalah orang penting parti yang pernah ditubuhkan Mahathir, yang kini menjadi musuh politik ketat beliau iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Tatkala PPBM kini terpaksa menghadapi saingan politik Umno dan Pas dalam Maufakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (MN), kewujudan satu lagi parti politik Melayu pasti menyukarkan lagi persaingan yang sudah sememangnya sengit.

“Marriage of convenience” antara PPBM, Umno dan Pas masih belum teruji. Pastinya PPBM yang menerajui Kerajaan PN sekarang tidak mahu membanyakkan musuh apatah lagi dalam merebut khalayak penyokong yang sama iaitu kelompok Melayu-Islam di Semenanjung.

Jika Mahathir dianggap ancaman oleh PPBM, MN dan PN, mengapa pula beliau dibenci sebahagian penyokong PH? Pastinya jawapan paling mudah adalah sejarah persengketaan politik beliau dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa juga latar kebencian penyokong PH khususnya anggota PKR terhadap Mahathir sama ada perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri semasa ‘langkah Sheraton’, calon Perdana Menteri PH pasca ‘langkah Sheraton’ hinggalah kepada teori konspirasi keengganan beliau menyokong Anwar sebagai calon PM, semuanya berpunca daripada sejarah lama pertikaian politik antara kedua-dua tokoh itu.

Ketika parti-parti politik yang membentuk PN dan MN mampu mengetepikan permusuhan lama bagi merebut tampuk pemerintahan negara (pastinya dengan bantuan ahli parliamen PKR dan PPBM yang berpaling tadah), amat mengecewakan apabila penyokong blok pembangkang mengambil sikap bermusuhan atas alasan menjadi penyokong setia Anwar mahupun Mahathir.

Konsensus politik perlu dicapai antara penyokong kedua-dua tokoh itu bagi kebaikan negara. Terlalu terbawa dengan persengketaan silam tidak membawa sebarang kebaikan kerana politik itu sendiri berciri dinamik.

Di saat pengaruh kedua-dua tokoh tersebut semakin terhakis kerana perkembangan semasa negara khususnya pandemik Covid 19, sudah tiba masanya untuk penyokong kedua-dua belah melupakan kisah lama dan saling bekerjasama bagi faedah bersama.

Terbawa-bawa dengan era reformasi yang sudah berlalu hampir dua dekad lalu tidak membawa banyak faedah. Ramai aktivis politik yang dahulunya penyokong kuat Anwar kini meninggalkan beliau. Malah antara penggerak utama kejatuhan kerajaan PH ialah bekas penyokong-penyokong kuat Anwar. Senarai itu bertambah dan datang dari pelbagai latar pegangan politik dan ideologi — Islamis, nasionalis, sosialis dan liberalis. Topik ini juga menarik untuk diulas kerana ‘pengkhianatan politik’ di kalangan Melayu kini sudah terlalu luas hingga merentasi ideologi dan pegangan politik.

Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian adalah kemunculan kelompok muda pengundi yang membentuk lebih 30 peratus komposisi pengundi negara. Mereka ini bukan sahaja lebih terbuka, kritikal, analitikal malah tidak terikat dengan nostalgia silam politik apatah lagi pertelingkahan politik Anwar-Mahathir. Fakta-fakta mereka lahir di era pasca gerakan reformasi. Mendendangkan lagu reformasi ke telinga mereka pastinya membosankan apatah lagi cabaran yang mendepani anak muda sekarang lebih getir. Mereka lebih tertumpu kepada isu peluang pekerjaan, sara hidup, perumahan juga isu-isu real yang menyentuh kehidupan mereka.

Banyak lagi sebab mengapa Anwar dan Mahathir perlu bersama. Antaranya, menarik sebahagian sokongan pengundi luar bandar yang masih setia dengan Umno dan Pas. Kita perlu akui bahawa usaha memecahkan sentimen bangsa dan agama di kalangan Melayu luar bandar termasuk di kawasan Felda bukanlah tugas yang mudah. Dengan adanya kelompok Mahathir dalam pakatan pembangkang, usaha ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Dalam politik pelbagai kaum dan agama, meramaikan kawan adalah syarat utama untuk meraih kejayaan. Oleh itu usaha mewujudkan gagasan PH Plus perlu diberi perhatian bagi menghadapi saingan PN. Sebagai calon bakal PM, tidak salah untuk Anwar kembali bersama Mahathir. Jika parti-parti gabungan PN boleh berpakat demi kuasa, mengapa tidak Anwar dan Mahathir tidak boleh berpakat demi negara?

Bersekutu bertambah mutu.

 

Taufek, mantan Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Melaka dan bekas Ketua Pegarang Harakah.