Ensiklopedia Umno sebagai bahan rujukan sejarah pada masa akan datang

Ensiklopedia Umno sebagai bahan rujukan sejarah pada masa akan datang

 

Penulisan Ensiklopedia Umno akan bertindak sebagai bahan rujukan sejarah bukan sahaja kepada pimpinan parti, malah untuk pakar sejarah dan generasi masa kini.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ensiklopedia itu adalah penerbitan rasmi daripada biro penerangan Umno Malaysia.

“Penulisan dalam buku itu adalah merupakan pengumpulan semua dokumen daripada sebelum penubuhan Umno hinggalah ke hari ini.

“Ini bermakna, buku itu akan menjadi bahan rujukan bukan hanya untuk kepimpinan dalam kalangan ahli Umno, tetapi juga sebagai rujukan kepada pakar-pakar sejarah pada masa akan datang.

“Dokumen tentang Umno ini berteraburan. Ia bukan hanya disimpan di jabatan rekod dan tidak dimikrofilemkan, tetapi pihak Arkib Negara pun tidak mempunyai kesinambungan rekod serta dokumen-dokumen yang sepatutnya ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perjanjian persefahaman (MoU) Penulisan Ensiklopedia Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

MoU itu melibatkan Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam sambil disaksikan Ahmad Zahid.

Dalam padam itu, Ahmad Zahid turut memuji usaha mewujudkan buku tersebut yang dilihat mempunyai nilai positif.

“Usaha yang baik ini adalah untuk memberikan nilai akademik dan juga nilai sejarah ilmiah terhadap Umno.

“Pada masa sama, buku itu akan digunakan sebagai bahan rujukan modul latihan bagi generasi ‘millennium’ untuk mewujudkan rasa cinta dalam kalangan generasi baharu Umno,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, penerbitan buku berkenaan bukan sahaja melibatkan kerjasama dengan Datuk Dr Ramlah, malah ada beberapa penyelidik yang akan bersama dengan beliau dalam penghasilan ensiklopedia itu.

Sementara itu, ketika ditanya bilakah buku tersebut dijangka dapat disiapkan, Dr Shamsul Anuar berkata proses itu akan mengambil sedikit masa.

“Ini kerana banyak bahan-bahan dan dokumen-dokumen penting yang terkumpul, perlu digali semula. Yang penting, semua bahan-bahan itu memang penting kerana ia adalah khazanah negara,” ujarnya.