Malaysia Dateline

‘Entah apa-apa Kementerian Komunikasi tumpu kepada digital’

Tanpa mahu menyebut nama menteri, Perwakilan Perlis, Roslan Ahmad mengkritik Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana dianggap gagal berperanan menyampaikan maklumat secara berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Saya rasa Kementerian Komunikasi salah tumpuan. Lebih kepada digital. Entah apa-apa,” bidasnya pagi ini semasa membahaskan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional 2019 AMANAH.

Beliau menyifatkan kerajaan BN terdahulu berjaya memanfaatkan saluran media sama ada RTM mahu pun TV3.

“Dulu guna RTM. Malah, sampai sekarang bagi siaran langsung untuk Persidangan Agung Umno,” tegas Roslan.

Sehubungan itu, beliau mengakui tersepit dengan isu-isu semasa seperti isu Zakir Naik dan Kongres Maruah Melayu yang turut dihadiri Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

“Saya sebagai orang parti di bawah mahu input (maklumat). Alhamdulillah, Mingguan Amanah sudah ada rupa baru.

“Tetapi orang atas pagar tidak baca Mingguan Amanah. Jadi, bagaimana kita mahu dekat dengan rakyat di akar umbi?

“Parti dan kerajaan perlu memikirkan saluran komunikasi. Di mana saluran maklumat untuk rakyat. Akhbar hanya yang ada online.

“Buatlah apa pun, kalau maklumat tidak sampai, nampak sangat lekeh,” bidasnya lagi.