Entiti penggabungan Axiata-Telenor dijangka jadi kenyataan pada suku ketiga 2020

Entiti penggabungan Axiata-Telenor dijangka jadi kenyataan pada suku ketiga 2020

Entiti baharu yang dibentuk melalui penggabungan aset Asia Axiata Group Bhd dan syarikat telekomunikasi Norway Telenor ASA dijangka menjadi kenyataan pada suku ketiga tahun depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata kedua-dua pihak berharap untuk mendapatkan semua kelulusan berkaitan bagi entiti yang digabungkan itu (MergeCo) dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.

“Hari ini, kami masih membincangkannya…dan ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan untuk menandatangani perjanjian muktamad,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan penggabungan mega tersebut, pada Isnin.

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Telenor Group, Sigve Bekke.

Menurut pengumuman Telenor kepada Bursa Saham Oslo, Telenor, berdasarkan nilai ekuiti, akan memiliki 56.5 peratus dalam MergeCo dan Axiata 43.5 peratus tetapi ini tertakluk kepada penyesuaian dan kajian terperinci.

Jamaludin turut menafikan khabar angin yang mengatakan cadangan penggabungan itu dilakukan secara tergesa-gesa.

“Kami telah membincangkan perkara ini sejak sekian lama. Walaupun begitu, ingin saya tekankan bahawa kami tidak memuktamadkan lagi. Kami telah memutuskan bahawa kami telah sampai ke tahap kami harus mengumumkannya terlebih dahulu,” katanya.

Jamaludin juga memberi jaminan bahawa tidak akan ada pemberhentian pekerja dalam usaha pembentukan satu daripada syarikat infrastruktur mudah alih terbesar di Asia itu.

“Satu perkara yang saya dan Sigve (Bekke) sama-sama bersetuju adalah menjaga kebajikan kakitangan, itu merupakan penggerak utama. Kami berdua tidak akan gembira jika kami melakukannya sehingga terpaksa mengorbankan pekerja.

“Oleh itu, di bawah perjanjian ini, tidak akan ada pemberhentian kerja. Tidak dapat dielak, apabila anda menggabungkan syarikat, akan terdapat fungsi yang bertindih. Langkah pertama kami adalah untuk melatih semula mereka,” katanya.

Sementara itu, Bekke berkata penggabungan itu bukanlah pelan keluar bagi kumpulan tersebut melalui Digi.

Pada masa ini, kumpulan itu memegang 49 peratus kepentingan dalam Digi.Com Bhd.

“Kami berada di Asia selama 20 tahun. Dengan perjanjian ini, kami berkembang bersama dengan Axiata di sini dan operasi kami di Asia.

“Kami melihat peluang yang luar biasa untuk terus memacu perniagaan kami di pasaran Asia,” katanya.

Cadangan janji niaga itu bertujuan untuk mewujudkan juara sebenar Malaysia dengan menggabungkan Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd, yang seterusnya menjadi pengendali mudah alih terbesar di Malaysia.- BERNAMA