Malaysia Dateline

Epilog kepada krisis kepimpinan dan perlembagaan

Nampaknya kemelut kepimpinan dan krisis perlmebagaan hampir menemui garis penamat. Sebagai rakyat kita bersyukur dan merafak sembah junjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Itulah sifat baginda selaku payung negara, baginda seorang yang prihatin, berjiwa rakyat dan pemaaf. Penulis yang pernah berkhidmat di Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyaksikan sendiri bagaimana dalam satu majlis konvokesyen UMP selaku Canselor, tiba-tiba berlaku satu insiden yang begitu mengejutkan.

Baginda dalam ucapan perasmian konvokesyen telah dengan jelas menyatakan “lets forget and forgive”, walaupun keselamatan baginda agak membimbangkan pada ketika itu.

Dalam kemelut yang sedang berlaku, rakyat memerhatikan bahawa baginda menghadapinya dengan tenang dan selaras perlembagaan walaupun mungkin baginda terluka dengan penderhakaan bekas menteri yang mendahului baginda dalam pengisytiharan tamat darurat yang belum mendapat perkenan.

Sedangkan sebelum ini baginda telah menitahkan beberapa perkara sebelum darurat ditamatkan termasuk dibentang dan dibahas terlebih dahulu di Parlimen.

Begitulah sifat baginda yang menghormati institusi Parlimen seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Begitu juga dengan Institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai institusi yang turut termaktub dalam perlembagaan yang harus dihormati dan diletakkan pada kedudukannya bagi mencapai keharmonian dalam negara dan pentadbiran kerajaan.

Bagi mengahadapi proses pemilihan Perdana Menteri Malaysia, baginda telah menitahkan beberapa perkara penting yang harus dicatat dalam sejarah pentadbiran negara.

Di antaranya supaya Ahli Parlimen bersolidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberi komitmen yang tinggi dan memerikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Justeru antara yang terpenting dalam kenyataan ketika ketua-ketua parti menghadap yang turut disertai oleh Paduka Seri Sultan Perak selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong, baginda berdua menzahirkan pandangan supaya Ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mengwujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti politik dan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar segera”.

Begitulah antara lain titah baginda Agong dan Paduka Seri Sultan Perak yang perlu diamati oleh siapa jua yang akan dilantik selaku Perdana Menteri.

Perdana Menteri baharu harus mengutamakan perpaduan, bergerak ke arah kerjasama yang jujur, fokus kepada isu semasa (pandemik, kemelesetan ekonomi dan keadaan rakyat yang dalam kesempitan), melaksanakan tanggungjawab tanpa berpihak atau perkauman sempit dan dengan ikhlas.

Semua kaum dan bangsa dalam negara ini adalah rakyat Agong dan rakyat Malaysia. Negara kita sudah tersurat memiliki rakyat berbilang kaum dan agama, maka santunilah seadilnya tanpa mengabaikan hak-hak Raja-raja Melayu dan bangsa Melayu.

Negara ini juga unik dengan perlbagai parti politik juga, maka raikanlah proses demokrasi dengan jujur, ikhlas dan akhlak yang mulia. Ahli-ahli Dewan paparkanlah kematangan, berhujahlah dengan profesional, berfakta dan mempunyai data yang boleh diterima.

Rakyat sekarang bijak, berpengetahuan dan berinformasi. Oleh itu, janganlah Parlimen digunakan untuk menyerang lawan dengan emosi dan membuta tuli.

Jika itu yang terus-terusan berlaku, maka anda tidak layak diangkat sebagai Ahli Parlimen

Seharusnya Perdana Menteri yang bakal dilantik mengambil panduan daripada titah baginda Yang di-Pertuan Agong, menyatukan semua pihak dan fokus bersama dalam menyelesaikan isu pandemik dan ekonomi.

Peranan kerajaan baharu ini amat berat dan tidak boleh dilaksanakan oleh pimpinan yang lemah dan polisi yang tidak strategik. Kerajaan juga tidak boleh dijadikan batu loncatan bagi menghalalkan amalan kronisma, nepotisma dan kleptokrat. Pulihkan negara dengan kadar segera.

Anggota Kabinet haruslah dikecil dan dioptimakan. Ia harus hanya memadai untuk mencapai fokus seperti titah YDPA.

70 keanggotaan Kabinet adalah terlalu besar, beberapa kementerian harus digabungkan mengikut keserasian tugas, jawatan-jawatan yang tiada keperluan tidak harus diwujudkan seperti Duta Khas bertaraf menteri.

Semua jentera kerajaan harus dioptimumkan bukan dibesarkan kerana semata-mata untuk memberi “habuan terima kasih” kerana menyokong pencalonan Perdana Menteri.

Daulat Tuanku !

————————————-

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Penulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak menggambarkan pendirian akademi.