Malaysia Dateline

Equanimity boleh berada di mana sahaja, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Equanimity yang pada masa ini dibawa ke Pulau Langkawi boleh berada di mana sahaja memandangkan mahkamah telah memutuskan bahawa kapal mewah itu adalah milik Malaysia.

“Kita boleh meletakkannya (Equanimity) di mana sahaja.

“Matlamat utama kerajaan bukan untuk menyimpan kapal terbabit, kita tidak memerlukan kapal yang besar … terlalu mewah untuk kami.

“Kami mahu menjualnya … jadi jika anda dapat membantu mencari pembeli, kami amat berterima kasih,” ujarnya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya mengenai kapal layar yang sebelum ini dimiliki oleh Jho Low itu belayar dari Pelabuhan Klang ke Langkawi.

“Kapal mesti belayar… anda tidak boleh terus menyimpannya (berlabuh) sepanjang masa kerana ia boleh menyebabkan teritip dan sebagainya berkumpul,” katanya.

Mahathir yang berada di Singapura sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan sidang kemuncak berkaitan turut memberitahu kapal harus belayar sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh beberapa hari.

Bagaimanapun, beliau mulanya tidak mengetahui pergerakan kapal yang telah dibida mulai 28 Oktober lalu itu.

“Saya tidak tahu …. terima kasih kerana memberitahu saya.

“Saya harap apabila pergi ke Langkawi, saya dapat melihatnya,” ujarnya lagi merujuk kepada kapal mewah yang sebelum dilapor dibeli daripada wang lebih RM1 bilion yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).