Malaysia Dateline

EquitiesTracker bermula pada 0.17 sen di pasaran LEAP

EquitiesTracker Holdings Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran Leading Entrepreneur Accelerator Platform (LEAP) Bursa Malaysia hari ini dibuka pada 0.17 sen, tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO).

Pada pembukaan, 100,000 saham diniagakan.

Menerusi penyenaraian itu, platform penyelidikan pelaburan ekuiti dan penyedia latihan pelaburan itu menjangka meraih RM7.14 juta.

Ia mencadangkan 42 juta saham baharu, mewakili 17.1 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan syarikat dan akan meningkatkan permodalan pasaran EquitiesTracker kepada kira-kira RM41.7 juta.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alvin Vong berkata penyenaraian di Pasaran LEAP itu merupakan pencapaian yang selari bagi EquitiesTracker untuk kekal kukuh bagi fasa pertumbuhan seterusnya.

“Strategi kami pada masa depan bukan sahaja akan melonjakkan keupayaan kami, malah membuka peluang baharu untuk berkembang,” katanya pada sidang akhbar selepas penyenaraian syarikat itu hari ini.

Syarikat itu bercadang menggunakan kira-kira RM4 juta hasil daripada IPO untuk menaik taraf dan meningkatkan platform teknologi maklumat syarikat serta sistem sokongan menyeluruh.

Sebanyak RM1 juta lagi akan digunakan untuk mengembangkan premis perniagaan di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Vong berkata syarikat itu mengenal pasti platform dalam talian sebagai peluang untuk mengembangkan perkhidmatan latihan pelaburan mereka pada masa depan, sekali gus membolehkan EquitiesTracker meneroka pasaran lebih luas termasuk di Asia Tenggara.

“Kami melihat potensi pertumbuhan menerusi platform pembelajaran dalam talian. Sebahagian kempen digital turut menyasar generasi milenium yang bijak teknologi memandangkan mereka gemar menggunakan media sosial,” katanya.

Syarikat itu merekodkan pertumbuhan yang kukuh sejak tahun kewangan berakhir 2016 dengan meraih perolehan dua kali ganda daripada kira-kira RM1.7 juta kepada RM3.1 juta pada 2017.

Bagi tahun kewangan 2018, EquitiesTracker merekodkan perolehan lebih tinggi kepada RM4.5 juta.

Dalam perkembangan lain, Vong berkata pasaran penyelidikan mengunjurkan industri platform penyelidikan pelaburan di Malaysia akan berkembang dengan pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 10.1 peratus antara 2018 dan 2020 dan mencecah RM324.2 juta pada 2020.

Industri perkhidmatan latihan pelaburan di Malaysia dijangka meningkat kepada CAGR yang kukuh iaitu 9.6 peratus antara 2018 dan 2020, untuk mencapai RM110.7 juta pada 2020, katanya.

— BERNAMA