Malaysia Dateline

Erdogan anggap demokrasi pemenang sebenar walau partinya kalah

‘Demokrasi Turki’ adalah pemenang sebenar walaupun parti AKP yang diterajui Recep Tayyib Erdogan kalah besar di dalam pilihanraya Datuk Bandar Istanbul baru-baru ini, kata Presiden Turki itu kepada Nikkei Asian Review di dalam temubual eksklusif.

“Di Turki, tiada keputusan melebihi daripada keputusan negara,” ulas Erdogan dalam menerangkan tentang kepentingan nilai demokrasi bagi Turki.

Walau bagaimanapun, Presiden Turki itu menyatakan bahawa Parti Pembangunan dan Keadilan (Justice and Development Party – AKP) mempunyai pengaruh besar dalam pentadbiran negara itu.

“Kami mempunyai majoriti besar di dalam parlimen perbandaran. Kesemua timbalan Datuk Bandar adalah daripada AKP,” jelas beliau.

Tambahnya, “Yang membawa Turki ke mercu demokrasi dan kemajuan masa kini adalah tidak lain tidak bukan kerajaan AKP yang berkuasa selama 17 tahun ini,”.

Erdogan turut menyatakan sikap optimisnya terhadap ekonomi Turki. “Kami kini menjangkakan pemulihan semula ekonomi bagi tempoh kedua tahun ini,” jelas beliau sambil menyatakan terdapat indikasi bahawa halatuju ekonomi Turki adalah positif.

Walau bagaimanapun, penambahbaikan ekonomi Turki masih memerlukan matawang Turki, iaitu Lira, untuk kekal stabil selepas menurun hampir 10% berbanding dolar US sejak awal tahun ini.

Mengambil kira keadaan ekonomi kini, Turki walau bagaimanapun berpotensi untuk menghadapi krisis matawang, sepertimana dialaminya tahun lepas.