Malaysia Dateline

Erdogan bincang untuk bentuk zon selamat di Syria dengan AS

Erdogan bincang untuk bentuk zon selamat di Syria dengan AS

Presiden Turki, Erdogan berkata beliau telah berbincang dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melalui talian telefon untuk membentuk zon selamat di Syria sepanjang sempadan Turki, lapor Reuters.

Trump sebelum ini dalam pengumumannya untuk mengeluarkan tentera AS dari Syria mencadangkan untuk membentuk zon selamat, tanpa memperincikannya.

“Isu zon selamat ini, termasuk zon selamat di sepanjang sempadan Turki akan dibentuk oleh kita (Turki) – ia juga merupakan isu utama yang saya telah bangkitkan sejak zaman Obama lagi, dan dijangka akan dibuat sepanjang 20 batu,” kata Erdogan kepada ahli-ahli parti AK di dalam parlimen.

Erdogan kemudiannya menyatakan bahawa zon tersebut boleh melangkaui 20 batu, tanpa menyebut secara perinci sejauh mana.

Turki komited untuk memerangi Islamic State (IS) di Syria sejurus selepas pengumuman pengeluaran kekuatan tentera AS. Walaubagaimanapun, perbezaan pandangan di antara Ankara dan Washington adalah berkaitan militan Kurdish YPG yang sedikit sebanyak merenggangkan hubungan di antara dua negara rakan NATO (North Atlantic Treaty Organization) ini.

Bagi AS, YPG dianggap sebagai sekutu utama AS untuk memerangi IS. Manakala bagi Turki, YPG ialah organisasi terroris dan merupakan hasil daripada Parti Kerja Kurdistan (Kurdistan Workers Party – PKK) yang telah melancarkan usaha pemberontakan di Turki sekian lamanya.

Panggilan telefon di antara dua pemimpin ini terjadi selepas Trump sebelum ini berkata Turki akan mengalami kemerosotan ekonomi jika tentera Turki memilih untuk menyerang militan YPG.

Erdogan kemudian mengatakan bahawa beliau terkilan dengan pandangan Trump, walaubagaimanapun menganggap panggilan telefon ini sebagai satu perkembangan positif.

Kenyataan Trump telah menyebabkan ekonomi Turki terjejas sedikit terutamanya dikalangan pelabur dengan matawang lira turun sebanyak 1.6 peratus. Walaubagaimanapun Erdogan mengatakan bahawa beliau dan Trump bersetuju untuk meningkatkan hubungan ekonomi semasa berbual di dalam talian telefon.

Tambah Erdogan, “Turki akan meneruskan usaha untuk menyelesaikan isu ini dengan semangat persahabatan, selagi mana hak dan undang-undang kita dihormati,”. “Kita (Turki) juga telah mempunyai persefahaman yang bersejarah dengan (Presiden) Trump,”.