Erdogan desak Amerika serah Fethullah Gullen

Erdogan desak Amerika serah Fethullah Gullen

Presiden Reccip Toyyib Erdogan mendesak rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Barrack Obama agar menyerahkan apa yang disifatkan oleh beliau sebagai pemimpin pengganas dan pemimpin rancangan rampasan kuasa yang gagal, Fethullah Gulen kepada Turki.

“Saya dengan ini meminta Presiden Amerika Obama untuk menyerahkan orang yang hidup di atas tanah seluas 400 ekar di Pennsylvania,” kata Erdogan sebagaimana dilaporkan media berbahasa Inggeris Turki, Daily Sabah.

Bercakap kepada perhimpunan di Istanbul tentang usaha merampas kuasa oleh segelintir penyokong Gullen dalam tentera, Erdogan berkata, tindakan itu menyalahi undang-undang dan tindakan itu tidak mewakili tentera Turki.

“Tentera adalah milik seluruh rakyat Turki bukan badan selari (parallel structure),” kata Erdogan dipercayai merujuk kepada FETO atau kumpulan yang diasaskan oleh Fetullah Gulen, seorang ulama Turki yang mempunyai banyak rangkaian pusat pendidikan di seluruh dunia dan kini menetap di Amerika.

Sementara itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu bercakap dengan Setiausaha Negara Amerika, John Kerry melalui telefon bagi memulakan proses mengekstradiksi Gullen.

Sebelum itu, Kerry berkata, Amerika akan membantu Turki menyiasat rancangan rampasan kuasa yang gagal itu.

Beliau juga meminta Ankara berkongsi bukti terhadap pelarian dari Turki, Imam Fethullah Gulen itu.

 

HAKIM DI TAHAN

Selepas kegagalan rampasan kuasa itu juga, Lembaga Utama Hakim dan Pendakwa (HSYK) Turki mengarahkan penahanan 2,745 hakim dalam mesyuarat agung luar biasa mereka pada Sabtu semalam.

11 pendakwa dan 10 hakim Mahkamah Rayuan pula ditahan manakala 140 lagi dikeluarkan waran tangkap.

Alparslan Altan (kiri) dan Erdal Tercan (kanan), dua hakim Mahkamah Perlembagaan yang ditahan.

Antara ahli HSYK yang ditahan adalah Alparslan Altan and Erdal Tercan (gambar), dua dari 17 hakim Mahkamah Perlembagaan Turki.

Kedua-duanya didakwa mempunyai hubungan dengan FETO pimpinan Gullen yang kini didakwa sebagai badan pengganas oleh kerajaan Turki.

FETO didakwa menyusup masuk ke dalam badan-badan kerajaan Turki termasuk tentera dan bercadang mahu menjatuhkan kerajaan secara kekerasan.

Agensi Anadolu, badan penyiaran rasmi Turki juga melaporkan, ramai ahli badan itu yang mempunai kaitan dengan FETO juga telah ditangkap.

Seramai 1,563 tentera termasuk lima jeneral dan 29 kolonel juga telah ditahan di seluruh Turki.

Akibat dari cubaan rampasan kuasa ini, 161 mati termasuk 41 polis dan 47 orang awam manakala 1,154 cedera.

104 pemimpin tentera yang pro rampasan kuasa ini pula telah terbunuh dalam pertempuran dan tindak balas dari polis dan pasukan khas tentera.

TAGS