Erdogan hubungi Obama bincang ekstradisi Gulen

Erdogan hubungi Obama bincang ekstradisi Gulen

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama semalam bagi membincangkan ekstradisi Fetullah Gulen yang dituduh oleh Turki sebagai dalang cubaan rampasan kuasa.

Perkara itu disahkan oleh jurucakap White House, Josh Earnest dalam satu kenyataan semalam, lapor media Turki.

“Presiden (Obama) menegaskan kepada Presiden Erdogan bahawa AS tidak menyokong pengganas dan tidak menyokong individu yang berkomplot untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi,” katanya.

Beliau berkata Obama mengulangi sekali lagi komitmen yang tinggi daripada AS menyokong kerajaan awam yang dipilih secara demokrasi Turki dan memuji usaha rakyat Turki dalam mempertahankan kerajaan dan menolak rampasan kuasa” minggu lepas.

Turki menuduh tokoh ulama negara itu Fetullah Gulen, yang kini menetap di AS, di belakang percubaan rampasan kuasa Jumaat lalu.

Pentadbiran Erdogan kini sedang berusaha membawa pulang Gulen ke Turki untuk diadili.

Menurut Earnest, keputusan untuk mengekstradisi Gulen bukan keputusan yang akan dibuat oleh Obama tetapi “keputusan undang-undang” berdasarkan perjanjian yang sudah lama termeterai di antara kedua-dua negara.

“Itu proses yang akan menyusul,” katanya.

Earnest berkata, dokumen permohonan untuk ekstradisi ulama yang hidup dalam buangan di Pennsylvania, AS telah dikemukakan kepada pihak berkuasa AS oleh kerajaan Turki dalam bentuk elektronik.

Jabatan Kehakiman AS dan agensi berkaitan kini menyemak dokumen-dokumen itu dan akan mengambil tindakan mengikut perjanjian yang telah lama dimeterai antara kedua-dua negara berkenaan berhubung ekstradisi penjenayah.

TAGS