Erdogan isytihar Turki darurat selama 3 bulan

Erdogan isytihar Turki darurat selama 3 bulan

Selepas lima hari rampasan kuasa tentera berlaku, akhirnya Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan darurat bagi negara itu selama tiga bulan.

Dalam ucapannya di Ankara semalam, Erdogan dipetik berkata, pengisytiharan itu bagi melanjutkan tahanan ke atas 10,000 orang yang ditahan sejak cubaan rampasan kuasa di negara itu gagal.

“Semua virus dalam angkatan tentera akan dibersihkan.

“Langkah ini adalah sama sekali tidak menentang demokrasi, undang-undang dan kebebasan,” kata Erdogan selepas mengumumkan darurat.

Lebih daripada 600 sekolah telah ditutup dan ribuan pekerja telah diberhentikan sejak usaha menggulingkan presiden itu gagal.

Dalam ucapannya, Erdogan menyifatkan individu yang terbunuh kerana menentang rampasan kuasa itu sebagai “mati syahid” seperti dilapor media antarabangsa.

Sejumlah 246 orang terbunuh ketika menentang rampasan kuasa, menurut kerajaan.

Terdahulu, Erdogan memberi amaran tentang tangkapan seterusnya oleh pihak berkuasa yang dipercayai terlibat dalam cubaan untuk menggulingkannya.

Lebih daripada 50,000 kakitangan kerajaan negeri telah dipecat atau digantung sejak cubaan rampasan kuasa di Turki berjaya digagal.

Sejumlah 99 pegawai tertinggi tentera didakwa berkaitan dengan insiden itu.