Selepas dua hari di Malaysia, Presiden Turki Tayyib Erdogan meninggalkan kenangan manis untuk kerajaan Malaysia, sebuah kereta elektrik kebanggaan Turki dan pesanannya agar Kerajaan Perpaduan tidak boleh berpecah.
Pesanan Erdogan ini dibuat secara bersahaja kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, namun ia telah memberikan kesan yang mendalam kepada Kerajaan Madani.
Selepas ia dinyatakan dalam Bahasa Turki oleh Erdogan kepada Anwar dan Mohamad Hassan, penterjemah beliau, Fatima Abushanab menyebut, “You do not separate from one another okay.”
(Kamu jangan berpisah antara satu sama lain, ok), kata Erdogan serentak merapatkan dua jari telunjuknya simbol agar bersatu-padu.
Anwar adalah Pengerusi Pakatan Harapan manakala Mohamad adalah Timbalan Presiden Umno.
Kenyataan secara bersahaja tetapi serius dari Erdogan ini disambut dengan hilai ketawa oleh semua yang ada di sekeliling mereka bertiga.
Hubungan baik antara Anwar dan Erdogan telah menyebabkan pemimpin yang sudah 22 tahun mentadbir Turki itu meluangkan masa selama dua hari di Malaysia berbanding Indonesia dan Pakistan yang masing-masing hanya satu hari sahaja dalam kunjungan empat hari keluar negara Erdogan itu.
Kerajaan Malaysia dibentuk hasil gabungan pelbagai parti dengan Pakatan Harapan dan Umno menjadi tulang belakang kerjasama ini.

(Anwar memandu kereta elektrik buatan Turki dengan Erdogan duduk di sebelahnya.)
Semasa di Malaysia, Erdogan telah menghadiahkan sebuah kereta elektrik buatan Turki, Togg untuk PM Anwar bagi pihak negara ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya itu ke Kompleks Seri Perdana bersama Erdogan.
Ia bagi menyaksikan pertukaran perjanjian, sidang media bersama, serta jamuan makan tengah hari.
Erdogan yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia diberikan sambutan negara di Kompleks Perdana Putra.
Beliau dan Anwar mengadakan pertemuan empat mata selama hampir satu jam, serta mesyuarat dua hala.
Ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, Anwar berkata, beliau akan memulangkan kenderaan itu kepada negara apabila tidak lagi menduduki jawatan Perdana Menteri memandangkan Erdogan menghadiahkan kereta EV itu kepada Perdana Menteri.
Untuk rekod, Togg (Türkiye’nin Otomobili Girişim Grubu) secara rasmi menjadi pengeluar EV nasional utama pertama Turki pada 29 Oktober 2022 dengan melancarkan model EV pertama mereka, Togg T10X.
Tarikh tersebut dipilih bersempena ulang tahun ke-99 Republik Turkiye.
Syarikat itu bagaimanapun ditubuhkan pada 2018 dan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Turkiye sebagai projek strategik untuk membangunkan industri automotif tempatan yang lebih maju dan kurang bergantung kepada jenama asing.