ESDING, IEF kerjasama galakkan pertukaran bakat muda dalam e-Sukan

ESDING, IEF kerjasama galakkan pertukaran bakat muda dalam e-Sukan

Sebuah organisasi sukan elektronik yang berpusat di Malaysia, E-Sports Distinct International Network Gamers (ESDING) dan International Exchange Federation (IEF) dari Korea menandatangani memorandum kerjasama (MoC) untuk menggalakkan pertukaran bakat muda dari kedua-dua negara menerusi kejohanan antarabangsa.

Pemeteraian MoC itu ditandatangani di Jeju National University semasa penganjuran Festival E-Budaya Antarabangsa Jeju 2018 di Korea Selatan pada 24 Nov 2018.

Dalam kenyataan, Pengasas ESDING dan Pengarah Urusan Serantau, Afizal Amid berkata kerjasama itu dapat memberikan banyak pendedahan kepada para pemain terutamanya di peringkat antarabangsa seperti Festival E-Budaya Antarabangsa IEF, yang dapat memberi manfaat untuk peningkatan diri pemain.

“Tambahan lagi IEF yang kaya dengan nilai-nilai budaya, kami percaya ia sesuai dalam permainan sihat yang kami cuba terapkan dan kami tidak sabar untuk pertukaran kebudayaan ini di masa depan menggunakan e-Sukan sebagai medium sejagat,” katanya dalam kenyataan.

ESDING diwujudkan bertujuan mempromosikan budaya e-Sukan yang sihat dalam kalangan pelajar kolej di Asia Tenggara dengan menyediakan platform dan menyokong penyertaan pelajar dalam kejohanan antarabangsa.

— BERNAMA