Malaysia Dateline

ESM perlu pembaharuan untuk lahir pemain e-sukan yang baik, kata Syed Saddiq

ESports Malaysia (ESM), badan pentadbir sukan eletronik negara perlu menjalani pembaharuan bagi membantu usaha melahirkan pemain e-sukan yang baik, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Di Malaysia sebagaimana yang kita ketahui ESM masih tidak stabil. Kita perlu perbaharui ESM terlebih dahulu bagi memastikan sebaik sahaja ia kukuh, ia akan memudahkan isu-isu yang berkaitan dengan sukan ini dibawa kepada pihak kementerian.

“Saya benar-benar berharap agar pemegang taruh industri di hadapan saya ketika ini boleh membawa perubahan itu menerusi proses pemilihan badan ini, yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan,” katanya dalam persidangan media di sini selepas meninjau pertandingan Dota 2 (The Kuala Lumpur Major) di The KL Major di sini, sebagai tanda sokongan kepada pembangunan e-sukan dalam negara.

Syed Saddiq berkata sepertimana lain-lain badan sukan, ESM juga perlu menjaga kebajikan para pemain dan menghantar mereka ke pertandingan tertentu untuk memberikan pendedahan.

Katanya beliau yakin dalam tempoh lima tahun, selagi komuniti e-sukan kekal bersatu, Malaysia akan muncul sebagai contoh terbaik dalam sukan itu.

Peminat e-sukan di Malaysia dan Asia Tenggara kini boleh mengikuti pertandingan terbesar Dota 2 di Axiata Arena bermula hari ini sehingga 18 Nov dengan kejohanan Kuala Lumpur Major menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$1 juta (RM4.1 juta).

Juara akan membawa pulang hadiah kemenangan US$350,000 di samping 4,950 Dota Pro Curcuit Point, yang akan membawa mereka lebih hampir kepada pusingan kelayakan kejohanan The International 2019 di Shanghai, China.

— BERNAMA