Malaysia Dateline

Esok mula puasa dalam budaya norma baru

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi mengumumkan umat Islam di negara ini akan mula berpuasa esok, Jumaat 24 April bersamaan 1 Ramadan 1441H.

Tarikh permulaan puasa bagi negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari itu menurut perintah Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman ringkas itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini, 23 April, bersamaan 29 Syaaban 1441 Hijrah.

Jawatankuasa berkenaan melihat anak bulan Ramadan di 15 lokasi di seluruh negara.

Majlis Raja-Raja mempersetujui cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Tahun ini umat Islam sedunia buat pertama kali dalam sejarah moden menjalani ibadat puasa dalam norma baru ekoran penularan pandemik Covid-19.