Malaysia Dateline

Esscom waspada, siap sedia hadapi ancaman Abu Sayyaf

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sentiasa berwaspada dan bersiap sedia dengan sebarang ancaman penjenayah khususnya dari Abu Sayyaf di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Komander ESSCom Datuk Hazani Ghazali berkata sehingga kini tiada pergerakan penjenayah dari Abu Sayyap dikesan dan pihaknya akan terus berwaspada serta siap siaga.

“ESSCom sentiasa waspada mengenai ancaman penjenayah dari kumpulan pengganas khususnya dari kumpulan pengganas Abu Sayyaf terutama di perairan Pantai Timur Sabah,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau diminta mengulas surat pemberitahuan yang dikeluarkan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) yang tular sejak pagi tadi yang menyatakan tiga kelompok kumpulan Abu Sayyaf dilaporkan melakukan pergerakan ke perairan di timur Sabah pada 30 Ogos, lepas.

Ia bertujuan untuk melakukan penculikan dengan menyasarkan beberapa buah kapal iaitu Kapal Batubara, Kapal Tanker, Nelayan Kapal Lengkong dan Kapal Tarik Udang.

Surat peringatan KJRI itu dipercayai untuk disampaikan pada warga Indonesia yang bekerja sebagai nelayan dan kru kapal agar berhati-hati jika belayar ataupun melalui perairan yang menjadi sasaran operasi kelompok Abu Sayyaf.

Dalam surat itu terdapat beberapa tempat atau wilayah dinyatakan yang akan menjadi sasaran iaitu Bakongan, Berhala, Sandakan, Mamiang, Tambisan dan Taganak.

Hazani berkata pihaknya juga sedia maklum tentang surat yang tular itu dan telah menghubungi pasukan keselamatan Filipina bagi mengesan pergerakan kumpulan tersebut.

— BERNAMA