Etika pemakaian: Adakah SJKC sudah jadi Taliban?

Etika pemakaian: Adakah SJKC sudah jadi Taliban?

Ketika seluruh dunia sedang dilanda keresahan ekoran penularan wabak koronavirus (COVID-19), portal berita Malaysiakini semalam menyiarkan pendapat menerusi surat bertajuk, “Racist and sexist dress code at Melaka municipal council.”

Penulisnya Rebecca Yeo mengecam etika pemakaian di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Melaka yang baginya adalah rasis kerana dakwanya hanya orang Cina yang berpakaian tidak menutup lutut dan lengan. Tidakkah kenyataannya itu telah menghina keseluruhan orang Cina?

“Saya memberitahu kakitangan (MPHTJ), saya memakai skirt, bukan seluar pendek. Dia memandang skirt saya dan memberitahu saya, ia tidak menutupi lutut saya. Skirt saya adalah longgar dan hanya dua inci di atas lutut,” jelasnya.

Gara-gara dilarang memakai skirt dua inci di atas lutut ketika berurusan di pejabat MPHTJ, dia boleh pula terus ‘melompat’ membuat kesimpulan melampau apabila semua orang harus berpakaian dengan menutup kepala sehingga ke kaki hanya untuk membayar bil.

Tegas Rebecca, Melaka masih diterajui kerajaan Pakatan Harapan dan “saya tidak hidup dalam Taliban atau negeri yang dipimpin Pas.”

Dia juga bertegas bahawa sebagai seorang Cina dan seorang wanita, dia tersinggung kerana menganggap etika pemakaian itu bersifat diskriminasi kerana menyasarkan wanita Cina.

Rebecca menyatakan rasa marah kerana baginya penjawat awam berkhidmat kepada rakyat dan tidak boleh enggan berbuat demikian hanya kerana rakyat memakai seluar pendek.

Sejumlah komentar yang menyusuli surat itu juga menyambut premis hujah Rebecca itu.  Rata-ratanya senada malah lebih keras apabila menyifatkan etika pemakaian yang menghalang penampilan menampakkan paha, lengan dan ketiak serta berselipar itu sebagai “bodoh”, “melemahkan kebebasan untuk berekspresi” serta “terpaksa mematuhi standard dan moral orang lain.”

Ada komentar lain pula membangkitkan persoalan, “bagaimana jika saya terlalu miskin untuk mempunyai kasut atau tidak begitu elegan untuk memakai sut seperti yang ditunjukkan dalam gambar (etika pemakaian).

Bahkan, ada yang menganggap garis panduan berpakaian itu sebagai, “pelanggaran hak-hak warganegara yang dijamin oleh Perlembagaan.”

Rebecca dan sejumlah individu yang menyokongnya adalah bukti negara kita masih dihuni oleh warganegara yang tidak bergaul dalam masyarakat majmuk.

Mereka ini hanya lebih mengutamakan kepentingan diri tanpa mengamalkan semangat “Kesopanan dan Kesusilaan” seperti termaktub dalam Rukun Negara.

Bagaimana boleh Rebecaa dan para penyokongnya menganggap etika pemakaian itu mensasarkan orang Cina hanya kerana orang Cina memakai seluar pendek dan skirt pendek, kalau bukan datang dari sikap ultra kiasu dan rasis?

Pusat perjudian juga melarang pengunjungnya berseluar berpakaian tidak sopan.

Jurang prejudis 

Reaksi melampaui batas Rebecca dan gerombolan penyokongnya termasuk media yang menyiarkan suara bebal itu lebih banyak mendatangkan mudarat sekali gus menambahkan jurang prejudis antara kaum.

Etika pemakaian di premis kerajaan sudah ada sejak zaman BN lagi sudah ada. Tidak terhad di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT), malah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pun tidak membenarkan pelawat berpakaian menampakkan paha, lengan dan ketiak atau berselipar.

Adakah SJKC sudah jadi Taliban? Adakah SJKC di Kelantan yang dikuasai Pas meletakkan syarat berpakaian menutup kepala sehingga ke kaki (meminjam ‘ludahan’ Rebecca Yeo)?

Bukan sahaja di SJKC, gereja dan kasino di negara ini pun ada etika pemakaian yang wajib dipatuhi.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Hidup ini ada adab dan aturannya. Hormatilah.

Pakailah skirt paras paha, berseluar pendek mahupun bersinglet menampakkan ketiak hanya kalau berada di rumah atau singgah di tandas kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Rebecca, gerombolan penyokongnya serta editor portal berita yang ‘melepaskan’ surat itu barangkali tidak sanggup berpakaian begitu di luar rumah kalau sedang berada di Wuhan yang dilanda wabak COVID-19.

Jadi, berpakaianlah mengikut garis panduan yang ditetapkan apabila berurusan di PBT, premis jabatan dan agensi kerajaan sama di peringkat negeri, bahkan Putrajaya sekali pun diterajui kerajaan Pakatan Harapan.

Etika berpakaian untuk pelawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kong Min di Kuantan.

 

Mengapa tiada pula bantahan terhadap gereja yang turut mengenakan etika pemakaian atau mereka sendiri tidak pernah ke gereja?