Serantau Muslim mengecam tindakan penahanan dan penindasan terhadap lebih 1 Juta Muslim berbangsa Uighur melalui kaedah yang cukup licik yang diberikan nama ‘re-education’ atau ‘de-radicalization’ oleh pemerintah China.
Pengurus Besarnya, Mohd Hakim Mohd Nor, berkata, terdapat banyak saksi dan bukti yang menunjukkan berlakunya penindasan dan kekejaman terhadap etnik Uighur untuk bebas mengamalkan agama di wilayah bergolak itu.
Jelasnya, menurut laporan saksi dan bukti, Umat Islam Uighur dilaporkan hidup dalam ketakutan kerana disekat dari menunaikan solat di Masjid, dilarang memakai burqa, alquran dibakar, masjid dan sekolah agama turut dirobohkan.
Malah, mereka dimasukkan dalam kem tahanan, diseksa berhari hari hingga tidak boleh tidur serta kelaparan dan paling mengejutkan apabila berlakukan ‘cultural genocide’ melalui pendedahan saksi di mana mereka dimandulkan melalui suntikan tanpa rela.
“Serantau Muslim kecewa sehingga hari ini Umat Islam Uighur masih tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dan menuntut tanggungjawab yang sepenuhnya oleh kerajaan Cina terhadap isu ini.
“Serantau Muslim juga turut mendesak dakwaan berlakunya penuaian organ yang berlaku tehadap Muslim Uighur disiasat dan tindakan tegas dan keras perlu diambil terhadap penjenayah yang terlibat.
“Kami turut melahirkan rasa bimbang sekiranya isu ini tidak ditangani dengan cermat dan pantas akan menyebabkan tindak balas agresif mahupun militan daripada mana mana pihak yang radikal yang cuba mengeruhkan keadaan kerana merasakan suara mereka tidak didengari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Serantau Muslim menggesa kebangkitan suara Umat Islam di seluruh dunia sebagaimana keprihatinan kita terhadap isu di Palestin, Syria, Rohingya , Yaman dan banyak tempat lain di seluruh dunia.
Serantau turut mendesak dan menyarankan tujuh langkah untuk dilakukan bersama :
1) Meminta semua Umat Islam mendapatkan maklumat yang tepat sekaligus menyebarkan fakta dan berita ke seluruh kenalan melalui pelbagai platform mengenai keadaan Umat Islam Uyghur .
2) Meminta semua Umat Islam mengadakan bantahan dan menghantar memorandum ke Kedutaan China di negara masing-masing untuk menyatakan kekecewaan terhadap apa yang berlaku terhadap Umat Islam Uyghur.
3) Menyebar luaskan kempen penerangan di media sosial dengan menularkan kempen #saveuyghur dan kempen untukmuuyghur.com
4) Mengadakan solat hajat dan qunut nazilah di setiap waktu solat untuk memohon bantuan dan pertolongan dari Allah.
5) Menggesa semua orgnasisasi Islam samada NGO, Parti Politik, NGI, Sektor Awam dan Swasta untuk bergabung dalam satu platform menyatupadukan gerak kerja pembelaan etnik Uyghur
6) Mendesak kerajaan China untuk membuka ruang seluas luasnya kepada pasukan penyiasat dari PBB untuk masuk ke dalam kem tahanan dan melihat sendiri keadaan para tahanan Uyghur sekaligus mendesak diberikan akses untuk bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk kepada komuniti Uyghur
7) Mendesak kerajaan China menghentikan serta merta amalan diskriminasi dan penindasan terhadap umat Islam minoriti iaitu etnik Uyghur.