Malaysia Dateline

EU setuju singkatkan tempoh lanjutan Brexit

Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menangguhkan Brexit sehingga 22 Mei andai aturan Perdana Menteri, Theresa May diluluskan Dewan Rakyat, lapor agensi berita Anadolu, memetik Presiden Majlis EU, Donald Tusk pada Khamis.

Jika aturan berkenaan tidak diluluskan oleh Parlimen, EU akan membenarkan lanjutan sehingga 12 April, kata Tusk di Brussels.

Pada sidang akhbar bersama Presiden EU, Jean-Claude Juncker, Tusk berkata, United Kingdom (UK) bersetuju dengan cadangan dikemukakan EU.

“Semua pilihan masih terbuka….kerajaan UK masih berpeluang untuk mencapai kata sepakat atau tidak mendapat persetujuan, penangguhan panjang atau membatalkan Artikel 50,” kata Tusk.

Pada Rabu, May memohon lanjutan sehingga 30 Jun. Tarikh asal untuk Brexit adalah 29 Mac.

Juncker mengulangi pendirian EU sedia menerima semua keputusan termasuk penolakan perjanjian Brexit.

Beliau berkata, penarikan balik perjanjian itu akan kekal seperti sedia ada.

Di Brussels, May mendesak ahli parlimen Britain meluluskan aturan yang disediakannya, supaya dapat memenuhi tarikh akhir penangguhan sehingga 22 Mei.

Beliau turut mengulangi bahawa perjanjian yang mengikat berkaitan perubahan mengenai isu persempadanan Ireland sudah pun dicapai pada minggu lalu.

Katanya, beliau percaya ‘adalah salah untuk meminta UK mengambil bahagian dalam pilihan raya Parlimen EU yang dijadualkan akhir Mei depan, tiga tahun selepas rakyat Britain mengundi untuk keluar’.

Menurut pelan lanjutan masa itu, May perlu memastikan pelannya diluluskan Dewan Rakyat pada minggu depan, selepas dua perjanjiannya sebelum ini ditolak.

Artikel 50 – satu prosedur rundingan selama dua tahun sebelum sesebuah negara boleh keluar daripada EU – adalah pada 29 Mac 2017.

Rakyat Britain mengundi untuk keluar daripada EU yang dianggotai negara itu sejak lebih 40 tahun dalam pungutan suara yang diadakan pada 2016.

— BERNAMA