EU tolak campur tangan ketenteraan di Venezuela

EU tolak campur tangan ketenteraan di Venezuela

Campur tangan ketenteraan bukan satu pilihan bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan dan politik di Venezuela, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) Federica Mogherini pada Selasa.

Mogherini berkata ketika ketegangan “memuncak secara mendadak” di negara itu, penyelesaian kepada krisis tersebut perlu dilakukan dari segi politik dan “secara aman serta demokratik.”

“Tiada campur tangan ketenteraan dari dalam atau luar negara yang boleh kami terima. Dan satu penyelesaian tidak boleh, dan tidak seharusnya, dilakukan dari luar,” kata beliau di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan para pegawai kanannya, bagaimanapun enggan mengenepikan penggunaan kuasa tentera untuk mengakhiri krisis itu serta menegaskan bahawa semua pilihan perlu diteliti.

Majoriti negara EU, AS dan berpuluh-puluh negara lain mengiktiraf Presiden Dewan Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Juan Guaido, sebagai pemimpin sah negara itu selepas beliau mengisytiharkan dirinya sendiri sebagai presiden sementara pada 23 Jan.

Bagaimanapun, Presiden Venezuela Nicolas Maduro telah menolak desakan Guaido dan para penyokongnya untuk melepaskan kuasa dan menegaskan bahawa beliau adalah mangsa percubaan merampas kuasa yang didalangi AS.

Washington telah mengetuai satu kempen antarabangsa untuk mengenakan tekanan ekonomi dan diplomatik ke atas Maduro, termasuk sekatan terhadap syarikat minyak negara itu, Petroleos De Venezuela SA atau PDVSA, serta menyenarai hitam para pegawai Venezuela yang setia kepadanya.

Venezuela kini berdepan kekurangan makanan dan perubatan di seluruh negara dan mempunyai kadar inflasi tertinggi di dunia, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa.

Ekonominya merudum susulan kejatuhan harga minyak mentah, yang merupakan eksport utama Venezuela.

Turki, Rusia, Iran, Cuba, China dan Bolivia telah menyatakan sokongan mereka kepada Maduro.

— BERNAMA