Exco, Adun Pulau Pinang bawa anggota keluarga mangsa ke Christchurch

Exco, Adun Pulau Pinang bawa anggota keluarga mangsa ke Christchurch

Wakil kerajaan negeri Pulau Pinang akan bersama-sama dengan anggota keluarga Rahimi Ahmad, mangsa yang cedera dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand akan berlepas ke negara itu hari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Aziz Mahathir akan mengiringi ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65 dan anak lelakinya, Roshidi, 42.

Rahimi, 39, adalah antara dua rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera dalam insiden tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood serta kedua-dua mereka kini menerima rawatan di hospital.

Chow, dalam kenyataan malam tadi, berkata kerajaan negeri mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam tersebut yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 49 nyawa serta berpuluh-puluh mangsa mengalami kecederaan.

Dilaporkan Rahimi menetapkan di negara itu bersama isterinya, Nor Azila Mohammad, 39, yang kini sedang menyambung pengajian dalam bidang perubatan serta dua anaknya, Ahmad Razif, 11 dan Nur Faiqah, 9, sejak 2014.

Terdahulu, Rokiah yang mengetahui kejadian itu selepas menonton televisyen dan kemudian terus menghubungi Norazila tetapi gagal.

Rokiah berkata Rahimi selalu pergi ke masjid yang terletak berdekatan rumahnya yang nampak sama macam dalam televisyen.

“Saya rasa dia pergi bersolat Jumaat di situ. Saya rasa sangat bimbang. Tiada siapa beritahu apa-apa kepada saya,” katanya kepada pemberita dengan air mata berlinangan.

Exco Phee Boon Poh dan Adun Azrul Mahathir sedang menguruskan perjalanan Rokiah dan abang Rahimi, Roshidi, ke New Zealand.