Malaysia Dateline

Exco, Adun Pulau Pinang sumbang gaji Jun untuk tabung COVID-19

Semalam Setiausaha AMANAH Pulau Pinang yang juga merupakan Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd Saifullah Abd Nasir mengumumkan hasrat beliau membantu tabung Covid-19 AMANAH Pulau Pinang dengan menyumbangkan sejumlah enam bulan elaun Ahli Majlis MBSP sekitar RM15,000.

Kini usaha itu disahut pula oleh Ketua Menteri, barisan exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dengan persetujuan mereka untuk menyumbangkan gaji bulan Jun bagi tabung Covid-19 Pulau Pinang.

Susulan keputusan tersebut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan beliau bersama Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Law Choo Kiang dan barisan Exco akan menyumbangkan gaji bulan Jun kepada tabung tersebut.

Manakala barisan Ahli Dewan Undangan Negeri turut bersetuju untuk menyumbangkan 30 peratus gaji bulan Jun mereka kepada tabung yang sama dan sumbangan ini merupakan kali kedua selepas sumbangan sebanyak 30 peratus yang telah dilaksanakan pada tahun 2020.

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil yang dihubungi berkata, adalah diharapkan dengan sumbangan kali kedua ini ia dapat dimanfaatkan untuk rakyat Pulau Pinang yang terpaksa berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (Total Lockdown) selepas pelaksanaan PKP sebanyak tiga kali sebelum ini.

Faiz juga menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang supaya bersama-sama menyokong usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi membendung penularan wabak Covid-19 tersebut.