Exco agama Pulau Pinang kecam sikap melampau JMPP

Exco agama Pulau Pinang kecam sikap melampau JMPP

Exco agama Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abdul Kassim mengecam tindakan NGO Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) yang memburuk-burukkan ketua menteri serta menghalang orang bukan Islam menghadiri majlis berbuka puasa.

“Saya amat kesal serta mengecam tindakan mereka yang melontarkan tohmahan termasuk menghalang Ketua Menteri untuk menghadiri majlis berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.

“Sedangkan seperti kelaziman sejak tahun 2008, Ketua Menteri akan menghadiri majlis berbuka puasa, malah, menyampaikan beberapa bantuan untuk perkembangan hal ehwal Islam ketika menghadiri majlis bersama rakyat itu,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurut Abdul Malik, tindakan Pengerusi JMPP dikenali Hafiz Nordin yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, jauh menyimpang daripada ajaran Islam.

“Melarang seseorang yang bukan Islam menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama orang Islam bukanlah ajaran Islam.

“(Dan) bagi pihak Kerajaan Negeri, kita akan teruskan usaha meningkatkan kefahaman agama di Pulau Pinang serta menolak sikap pelampau agama sebegitu,” jelasnya.

Dalam kejadian itu penyokong JMPP menampar pegawai ketua Menteri Pulau Pinang, Zaidi Ahmad selepas solat Jumaat di Masjid Simpang Enam.

Zaidi yang juga bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia diserang ketika bertanya mengenai isu campur tangan kerajaan negeri.

Bagaimanapun kekecohan itu berjaya disuraikan melalui campur tangan anggota keselamatan.

Sementara itu, Penasihat Strategik Kepada Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut membidas tindakan kumpulan tersebut yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

“Kita (Pakatan Harapan) cuba mewujudkan hubungan yang baik dalam rangka keharmonian agama yang mencintakan kedamaian.

“Hal yang berlaku baru-baru ini jelas bercanggah. Ajaran Islam ini mudah, tetapi boleh sahaja dikelirukan oleh penganutnya yang obses terhadap sesuatu perkara.

“Saya percaya, di Pulau Pinang usaha ke arah keharmonian antara pelbagai kaum telah lama dilaksanakan dan akan diteruskan demi memberikan perspektif yang benar berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah,” katanya.

Saifuddin dalam pada itu turut memaklumkan majlis berbuka puasa melibatkan pemimpin Pakatan Harapan di peringkat nasional akan diadakan pada 11 Jun ini di Pulau Pinang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang turut serta dalam sidang media berkaitan turut memberi pandangan sama.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang telah menunjukkan amalan yang baik dengan berbuka puasa bersama-sama orang Islam di Pulau Pinang.

“Inilah amalan yang dibuat oleh pimpinan negara-negara hebat, sebagai contoh bekas Presiden Barrack Obama pernah mengadakan majlis rumah terbuka di Rumah Putih (Amerika Syarikat) dan mengajak orang bukan Islam turut serta.

“Begitu juga Perdana Menteri Singapura baru-baru ini berbuka puasa bersama-sama umat Islam di salah sebuah masjid di Singapura.

“Bahkan, diunjurkan supaya kita berbuka puasa beramai-ramai seperti yang pernah dilakukan di Masjid Negara (Kuala Lumpur),” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)