Malaysia Dateline

Sesi taklimat titah Sultan Selangor anjuran Jais di Masjid Kampung Melayu Batu 16 Rawang

Exco, ahli politik dilarang berucap di masjid Selangor

Dalam majlis taklimat anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang diadakan serentak di seluruh negeri pada 4 Jun lalu, arahan diberikan kepada nazir masjid dan pengerusi surau agar tidak membenarkan pemimpin politik untuk menyampaikan ucapan di dalam masjid.

Menurut sumber, program pengagihan sumbangan bagaimanapun dibenarkan dibuat di luar masjid dengan pemimpin politik yang hadir hanya dibenarkan memberikan sumbangan tanpa membuat ucapan.

Arahan juga diberikan agar masjid dan surau memastikan para penceramah mempunyai tauliah yang dikeluarkan Jais.

Seorang pengerusi surau di Rawang yang enggan dikenali berkata, beliau menerima arahan untuk hadir ke program taklimat berkenaan titah perintah Sultan Selangor itu daripada nazir masjid pada 3 Jun lalu.

Sesi taklimat yang berlangsung pada 4 Jun di Masjid Ihsaniah, Kampung Melayu Batu 16, Rawang itu membabitkan semua masjid dan surau dalam daerah Gombak dan dilaksanakan atas titah perintah Sultan Selangor.

Majlis anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Gombak itu dihadiri Orang Besar Daerah Gombak Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan Teh dan wakil Bahagian Pengurusan Masjid, Jais.

Menurut beliau, ketika sesi soal jawab, seorang nazir masjid dalam kawasan Dun Taman Templer inginkan penjelasan sama ada Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Taman Templer Zaidy Talib boleh dijemput untuk berceramah di masjid.

Ini kerana Bendahari Pas negeri itu disifatkan sebagai ‘berilmu’ dan sering dijemput untuk memberi kuliah dan berkhutbah di masjid yang berada di kawasan Dun yang diwakilinya.

Bagaimanapun Wan Mahmood menegaskan bahawa arahan daripada istana adalah jelas dan perlu dipatuhi.

“Saya dah letih dah bercakap isu ini,” katanya.

“Bila kita kata tak boleh, tak bolehlah,” tegas wakil Jais.

Kontroversi berhubung kehadiran pemimpin bukan Islam di masjid tercetus apabila sekumpulan penduduk dan wakil NGO di Parlimen Subang mengadu kepada Jais berhubung kehadiran Sivarasa dalam program sumbangan Ramadan di Masjid Kampung Melayu Subang, 24 Mei lalu.

Pengarah Jais, Datuk Haris Kassim kemudiannya memaklumkan kemurkaan Sultan Selangor berhubung perkara tersebut.

Bagaimanapun Sivarasa dalam satu kenyataan menafikan memberikan ceramah politik di majlis tersebut dan hanya hadir untuk menyampaikan sumbangan berjumlah RM71,000 kepada surau dan masjid di kawasan parlimen yang diwakilinya.

“Saya hanya buat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan kepada hadirin dan menegaskan keyakinan saya kepada komitmen kerajaan Selangor terus bimbing institusi surau dan masjid di Selangor.

“Saya juga hadir sebagai Ahli Parlimen kawasan Subang yang dipilih oleh majoriti pengundi Islam dan bukan Islam.

“Saya tidak hadir sebagai wakil menteri besar seperti yang dikatakan oleh beberapa pihak yang salah faham fakta kerana saya tidak diminta untuk mewakili beliau,” jelas Sivarasa.

Tambah Sivarasa, beliau hadir selepas dimaklumkan berkenaan majlis penyampaian sumbangan itu oleh Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara dan menyampaikan sumbangan bersama Penyelaras Dun Radzlan Jalaludin yang turut memberikan ucapan.

Sivarasa juga mengakui telah membuat lawatan ke surau dan masjid di kawasannya sejak 2008.

Dalam perkembangan berkaitan, foto Ahli Parlimen BN Hulu Selangor P Kamalanathan yang menyerahkan sumbangan di dalam ruang solat sebuah masjid di Hulu Selangor tersebar luas di media sosial.

Seorang netizen, Tok Abah Ismail yang menulis di laman Facebook mempersoalkan sama ada pihak berkuasa agama Selangor akan mengambil tindakan yang serupa terhadap Timbalan Menteri Pelajaran itu memandangkan Kamalanathan turut berucap pada majlis tersebut.