Malaysia Dateline

Exco cadang kuota 30 peratus wanita dalam pimpinan kerajaan dimasukkan dalam DWN

Sasaran kuota 30 peratus wanita di peringkat pembuat dasar dalam sektor awam merupakan antara cadangan yang boleh dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Dasar Wanita Negara (DWN) 2021-2025.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, berkata setakat ini kuota 30 peratus tersebut masih belum dicapai sepenuhnya.

“Saya berharap kerajaan mengambil langkah positif ini untuk memberi ruang dan peluang kepada wanita untuk bersaing kerana mereka ini juga mempunyai peranan tersendiri yang berupaya menyumbang sesuatu kepada negara.

“Dengan kesaksamaan hak ini, ia akan memberi peluang dan ruang kepada golongan wanita untuk bersaing dan tidak ketinggalan khususnya dalam bidang sosial, ekonomi mahu pun politik,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemetaan Kerangka Kerja dan Input Bagi Penyediaan DWN 2021-2025 di sini yang disertai seramai 30 peserta terdiri daripada ahli akademik, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

Bengkel dua hari berkenaan diadakan bagi mengumpul input di peringkat akar umbi dalam usaha memperkasakan golongan wanita.– BERNAMA