Exco Johor: Dun boleh tolak pilihan Sultan menerusi undi tidak percaya, kata Mahathir

Exco Johor: Dun boleh tolak pilihan Sultan menerusi undi tidak percaya, kata Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas raja tiada kuasa mutlak dalam pelantikan menteri besar, perdana menteri, atau ketua menteri.

Beliau  berkata, ini kerana Perlembagaan Persekutuan secara jelas memberikan kuasa kepada parti yang menang pilihan raya, yang akan menamakan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri, yang kemudian akan dipersetujui raja-raja.

“Sekiranya raja berperlembagaan tidak mahu sokong dan mencadangkan calon tersendiri dan menyokong orang itu, parti yang menang boleh menolak orang itu dalam Dewan Undangan Negeri menerusi undi tidak percaya,” katanya di blog hari ini.

Dr Mahathir berkata,  perlembagaan yang wujud sebelum Perlembagaan Persekutuan dirangka untuk Tanah Melayu kini tidak lagi terpakai.

“Perlembagaan Johor dan Terengganu yang diisytiharkan lebih awal dibatalkan oleh perlembagaan baru yang diterima oleh semua negeri-negeri Malaysia,” katanya.

Beliau juga menerangkan secara ringkas peristiwa-peristiwa yang membawa kepada perangkaan Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah penting semua orang yang berkenaan menghormati perlembagaan dan berpegang padanya. Kegagalan berbuat demikian akan menidakkan kedaulatan undang-undang.” ujarnya.

Pada Isnin, 10 exco Johor mengangkat sumpah di depan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, selepas pertelagahan dengan istana mengenai siapa yang ada kuasa dalam urusan pentadbiran negeri, termasuk pelantikan menteri besar. Lantikan barisan exco baru itu tidak pernah mendapat kelulusan pimpinan Bersatu.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar  pernah memberi amaran kepada “orang luar” jangan mencampuri urusan pentadbiran negeri, mengatakan kerajaan Johor mempunyai adat dan cara pemerintahan tersendiri.

Pada 10 April  Mahathir dipetik  berkata perlembagaan negeri mesti seiring dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam Perlembagaan ini, kita telah nyatakan Persekutuan Tanah Melayu dan negeri-negeri dalam persekutuan ini mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

“Bukan raja berkuasa mutlak. Kalau ianya masih ada dalam undang-undang perlembagaan Johor, itu terbatal dan Johor juga bersetuju dengan sistem pemerintahan dalam negara kita ini,” katanya .