Malaysia Dateline

Exco Kelantan minta KKM ambil tindakan kepada kakitangan dedah isu potong Q

Exco kerajaan negeri Kelantan, Dr Izani Hussin mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangannya yang tidak patuh pada etika kerja termasuk yang mendedahkan isu potong barisan pemberian vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Kelantan itu berkata, pihaknya menafikan mereka terlibat dengan sebarang gesaan sehingga wujudnya penularan tersebut.

“Kementerian Kesihatan seharusnya memperkuatkan sistem pentadbiran mereka dan mengambil tindakan kepada kakitangan yang mungkin lalai sedikit dari peraturan serta prosedur yang sepatutnya,” kata beliau sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

Penularan tersebut, katanya, memberi kesan kepada imej baik kerajaan negeri sedangkan tidak pernah wujudpun sebarang gesaan mahupun ‘potong barisan’ sebagaimana yang digempar-gempurkan.

Mengulas lanjut, Izani berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis untuk menafikan perkara tersebut selain mahu pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan dengan lebih lanjut.

Malah katanya, tindakan itu perlu dilakukan kerana ia dilihat sudah keterlaluan memandangkan perkara itu bukanlah ketetapan pihak kerajaan negeri, namun ia diputuskan pihak kementerian kesihatan sendiri.

Khairy menjawab twit Dr Rafidah yang mendedahkan permintaan SUK Kelantan yang mahukan 200 vaksin Covid-19.

Sebelum ini, seorang petugas KKM mendedahkan, kononnya pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) meminta KKM memberikan 200 dos suntikan vaksin Covid-19 untuk negeri itu.

Menurut wisel blower itu, ketika diminta nama 200 orang itu, pejabat SUK berkata, nama akan diberikan sewaktu vaksin itu hendak diberikan nanti.

Ekoran itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin meminta pemberi maklumat untuk tampil sekiranya mempunyai aduan mengenai dakwaan cubaan memotong barisan dalam mendapatkan vaksin Covid-19.

Dia berkata demikian sebagai menjawab ciapan Twitter doktor perunding dan ahli nefrologi Dr Rafidah Abdullah yang menyorot berhubung aduan bahawa pegawai dari pejabat setiausaha negeri (SUK) Kelantan berusaha untuk memotong barisan.