Exco Melaka beri komitmen banteras rasuah, pantau KPI ketua jabatan

Exco Melaka beri komitmen banteras rasuah, pantau KPI ketua jabatan

Anggota Exco Kerajaan Negeri Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab menyatakan komitmen untuk membanteras rasuah dan memantau prestasi ketua-ketua jabatan bagi memastikan slogan kerajaan negeri iaitu Melaka Berwibawa Harapan Rakyat benar-benar terlaksana.

Ketika dihubungi, Sofi yang memegang portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri menganggap jawatan yang disandangnya sebagai amanah yang besar dan memerlukan komitmen tinggi.

“Saya akan berbincang dengan semua pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan), badan berkanun, jabatan kerajaan berkaitan dengan kerja raya, pengangkutan dan kemudahan awam untuk meneliti jika ada kelemahan dan mengatasi kelemahan tersebut serta melakukan penambahbaikan,” katanya.

Sofi juga bercadang menggariskan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada jabatan kerajaan dan GLC berkaitan dan akan sentiasa memantau pencapaian semasa dan tahunan mereka.

“Prestasi ketua-ketua pentadbir GLC dan jabatan berkaitan akan dipantau. Saya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja jika terdapat bukti-bukti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.

“Pegawai-pegawai mesti berkhidmat dengan cekap, telus, amanah dan dedikasi bagi mencapai matlamat dan slogan kerajaan negeri melahirkan Melaka Berwibawa Harapan Rakyat,” tegas beliau.

Menurutnya, rakyat mesti diutamakan dalam segenap perkara kerana telah memberi harapan tinggi kepada kerajaan baru.

Sepuluh ahli Exco kerajaan negeri Melaka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, 16 Mei lalu.

Mereka yang mengangkat sumpah ialah lima daripada DAP iaitu Tey Kok Kiew (Bandar Hilir), G. Saminathan (Gadek), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Kerk Chee Yee (Ayer Keroh).

Dua masing-masing daripada PKR dan PPBM iaitu Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya) serta Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Fendi Ahmad (Telok Mas) dan Sofi daripada AMANAH (Durian Tunggal).

Adly mengetuai portfolio Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi dan Hal Ehwal Agama negeri manakala Mohd. Rafiq dilantik pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri.

Kok Kiew diantik pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri manakala Muhammad Jailani selaku pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri.

G. Saminathan memegang portfolio Perpaduan, Sumber Manusia, NGO dan Hal Ehwal Pengguna negeri manakala Norhizam sebagai pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri.

Portfolio Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri disandang Ginie Lim manakala Noor Effandi Ahmad sebagai pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan disandang Chee Leong manakala Chee Yee dilantik pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri.

7.7
OVERALL SCORE
: 5.0
2 user votes x 9.0