Exco nafi naik kadar tol penternak ikan sangkar di Selangor

Exco nafi naik kadar tol penternak ikan sangkar di Selangor

Kerajaan negeri Selangor menafikan dakwaan menaikkan kadar Lesen Pendudukan Sementara (Tol) antara RM60,000 hingga RM100,000 setahun ke atas penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib (gambar) berkata beban bayaran tol pada kadar RM2 bagi satu kaki persegi seperti dilapor sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 23 Jun lalu dilihat sebagai tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata jumlah sebenar kadar bayaran Tol seperti yang dipersetujui kerajaan negeri pada 27 April lepas adalah 40 sen bagi satu meter persegi setahun berbanding kadar nilaian yang diberikan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu RM4 semeter persegi setahun.

Kadar Tol penternak ikan dalam sangkar di Selangor adalah yang terendah berbanding negeri lain seperti Pulau Pinang yang sebanyak 45 sen semeter persegi, Perak (60 sen semeter persegi) dan Johor (50 sen semeter persegi).

Anggaran keluasan kawasan setiap penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam pula adalah maksimum 20,000 meter persegi manakala keluasan minimum pula sekitar 500 meter persegi, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaidy, bagi keluasan maksimum 20,000 meter persegi dengan kadar bayaran tol 40 sen satu meter persegi setahun, hanya RM8,000 dikenakan ke atas penternak ikan dalam sangkar.

Beliau berkata jika ditambah caj oleh Jabatan Perikanan Selangor, bayaran yang perlu dijelaskan adalah RM9,070 setahun namun ia tidak termasuk caj levi pekerja asing yang ditetapkan kerajaan persekutuan.

Katanya caj yang dikenakan Jabatan Perikanan Selangor itu adalah merangkumi Lesen Sistem Kultur Laut dengan bayaran sebanyak RM10 setahun dan Lesen Bot Sistem Kultur Laut iaitu maksimum RM70 bagi satu bot setahun mengikut kategori.

Saya akan bertemu dengan kesemua penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam dalam masa terdekat bagi menjelaskan isu berkenaan dan berharap agar golongan terbabit dapat merujuk terlebih dahulu kepada pihak berautoriti untuk mendapatkan maklumat yang jelas bagi mengelakkan salah faham,” katanya.

Pada 23 Jun lepas, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan kenaikan kadar tol yang membebankan itu hanya akan menggugat pendapatan golongan penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam.

Menurut laporan itu lagi, golongan penternak berkenaan sebelum ini mendakwa mereka hanya perlu membayar kadar tol pada jumlah RM282 setahun.