Exco P. Pinang ditahan SPRM kerana dua pucuk surat, bagaimana dengan MO1?

Exco P. Pinang ditahan SPRM kerana dua pucuk surat, bagaimana dengan MO1?

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, jika dua surat memohon pertimbangan itu dianggap rasuah, maka seluruh exco, Menteri Besar, Menteri Persekutuan, Timbalan Perdana Menteri termasuk Perdana Menteri tidak akan terkecuali.

“Saya yakin sekali bahawa mereka juga ada mengeluarkan surat-surat yang mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya membuat pertimbangan berhubung sesuatu perkara,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan.

Lebih mengecewakan, cara SPRM itu bertindak katanya seolah-olah memberi gambaran Pulau Pinang seperti negeri paling rasuah di negara ini.

“Mengapa SPRM melayan Phee seolah-olah beliau penjenayah nombor satu di Malaysia tetapi takut untuk menyiasat ‘MO1’ dalam skandal 1MDB yang telah menjadikan Malaysia sebagai ‘negara penyangak’ global?

“SPRM telah bawa Phee menyerbu sekurang-kurangnya lima rumah dan mereka gagal menemui malah satu sen pun penyelewengan atau apa-apa barangan berharga.

“Jika Phee rasuah, buktikan kesalahannya dan tangkaplah. Tapi saya tidak percaya Phee merupakan pemimpin yang buat kekayaan dengan rasuah,” katanya lagi.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam membenarkan permohonan semakan semula untuk membatalkan perintah reman terhadap Boon Poh dan dua beranak yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Pulau Pinang, Sabtu lepas.

Sabtu lepas, SPRM memperoleh perintah reman terhadap Boon Poh dan dua lelaki yang terlibat bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam dekat sini sejak 10 tahun lepas.

Pada Khamis lepas, SPRM menjalankan operasi di kilang haram memproses serbuk kayu itu, yang dipercayai mencemari alam sekitar di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam selain SPRM mengambil beberapa dokumen dari pejabat MPSP di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kerajaan negeri dikritik

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebelum ini berkata, Kerajaan negeri Pulau Pinang buat masa kini tidak berhasrat menukar dasar lama berkaitan dengan bangunan haram, penjaja haram, tokong haram, kuil haram, gereja haram, kilang haram dan rumah kediaman haram yang di bina atau diusahakan sebelum 8 Mac 2008 di Pulau Pinang.

“Memang menjadi dasar kerajaan negeri Pakatan sejak ditubuhkan pada 2008 untuk tidak mengambil tindakan kepada semua bangunan, kilang atau penjaja haram yang beroperasi sebelum 8 Mac 2008 dengan syarat ia tidak menghalang laluan trafik ataupun mengganggu orang awam.

“Sebaliknya, kerajaan negeri akan cuba cari penyelesaian untuk semua pihak termasuk program pemutihan.

Tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas bangunan, penjaja dan kilang haram yang dibina selepas 2008 agar menghindarkan kegiatan haram tumbuh seperti cendawan.

“Itupun menggunakan pendekatan perikemanusiaan dengan perbincangan secara elok dan baik yang boleh diterima oleh semua pihak,” jelasnya.

Namun katanya, kerajaan negeri sering dikritik kerana merobohkan beberapa penjaja haram daripada ribuan yang sedia ada.

“Sekiranya tindakan mesti diambil dan satu dasar yang ditetapkan oleh kerajaan negeri boleh ditolak begitu sahaja oleh SPRM, maka puluhan ribu bangunan, penjaja dan kilang haram akan terjejas dan harus dirobohkan dengan segera.

“Adakah ini yang mahu dilihat dengan begitu kejam dan zalim sekali oleh BN?

Bukan sahaja penjaja di pekan dan kampung, maka rumah kediaman yang dibina tanpa permit pun tidak akan terlepas dan akan dirobohkan.

“Ini akan menghebohkan satu negeri malah mungkin mencetuskan huru-hara di Pulau Pinang yang sukar dikawal,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)