Malaysia Dateline

Exco Pas dituntut jelaskan sumber wang bawa 109 staf, keluarga ke resort

Exco Pas Terengganu dituntut menjelaskan sumber wang yang digunakan semasa percutiannya bersama 109 orang kakitangan termasuk ahli keluarganya baru-baru ini.

Ia selepas pengusaha Summer Bay Resort Pulau Lang, Fah Ming Chong memuatnaik hantaran Facebook yang memaklumkan lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu ke resort itu.

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali berkata, tindakan Ariffin Deraman yang membawa staff dan ahli keluarga sekiranya dengan peruntukan kerajaan Negeri itu, adalah salah.

“Kami belum ada maklumat jika ‘family gathering’ bersama itu menggunakan duit negeri atau duit peribadi (untuk) bercuti.

“Jika Exco menggunakan duit peribadinya sendiri, sukar untuk ditafsirkan salah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Semalam, Malaysia Dateline melaporkan, Ariffin yang juga ADUN Alor Limbat berkata, lawatan ke Pulau Lang Tengah itu bagi melihat prosedur operasi standard (SOP) norma baharu bagi pulau peranginan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Walau bagaimanapun, semakan mendapati hantaran tersebut yang turut menyertakan sejumlah gambar rombongan telah dipadam dari Facebook Ariffin.

Sementara itu, mengulas lanjut, Zamir berkata Exco Pas itu berbelanja dengan tidak berorientasikan kempen ‘Buy Muslim First’ yang menjadi kempen politik parti beliau.

“Buktinya seperti di Kelantan juga dalam isu pembelian Mercedes. Beli dengan syarikat Cina dan servis di pusat servis milik Cina juga.

“Justeru, adalah tidak pelik dalam isu pengusaha resort ini, mereka berbelanja di resort pengusaha non-muslim,” tempelak Zamir lagi.