Exco pemuda Amanah enggan patah balik selepas dihalang masuki Sarawak

Exco pemuda Amanah enggan patah balik selepas dihalang masuki Sarawak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Exco pemuda Amanah nasional, Khairol Najib Hashim bertekad untuk tidak berpatah balik selepas tidak dibenarkan masuk ke Sarawak petang tadi,

“Saya akan berada di Sarawak selama mana yang saya boleh bertahan, saya nekad,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di portal rasmi Amanah.

Menurutnya, Ketua Menteri Sarawak perlu tahu bahawa dia sesekali tidak akan akur dengan peraturan-peraturan merepek seperti ini.

“Sampai bila kuasa istimewa yang terkandung dalam senarai negeri seperti Sarawak akan terus disalahgunakan?, “soalnya.

“Silakan hantar sesiapa sahaja untuk mengusir saya daripada memasuki negeri yang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, negara yang saya cintai ini,” katanya.

Baginya, hajat berkampung selama dua minggu di Sibu untuk bersama menggerakkan jentera pilihanraya DUN Semop dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak kali ini nyata tidak kesampaian.

“Saya dihalang daripada memasuki Sarawak. Menaiki penerbangan AirAsia (AK5872) dari Kuala Lumpur ke Sibu pada jam 12.50 petang, saya tiba tepat jam 2.50 petang di Lapangan Terbang Sibu

.

Ini adalah kali ketiga saya memasuki Negeri Sarawak. Kali pertama pada Ogos tahun lalu di Kuching membantu rakan saya, Musa Ngoc, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Tarat. Kali kedua saya ke Bintulu pada Februari lepas, bersama-sama rakan-rakan lain menggerakkan jentera Pemuda Amanah di DUN Samalaju.

Peliknya, kedua-dua kemasukan saya sebelum ini seperti tiada sebarang masalah. Namun kali ini, saya ‘sangkut’ di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Sibu,” katanya

Menurut Khairol, setelah kad pengenalan diberi, pegawai imigresen meminta saya masuk ke pejabat imigresen di situ.

Sedang melangkah masuk ke bilik menunggu, pegawai berkenaan memberitahu rakannya dalam pejabat, “Bos, ‘A’!”.

Kisahya seakan-akan sama dialognya seperti yang dialami oleh sahabat beliau, Shazni Munir, pagi tadi.

“Shazni Munir juga telah disenarai “NTL”, dihalang daripada memasuki Sarawak dan telah sampai ke Kuala Lumpur ketika ini.

Pegawai imigresen tersebut menemubual saya dan memaklumkan saya tidak dibenarkan masuk ke Sarawak atas arahan Kerajaan Negeri. Saya menyoalnya kembali, “Atas sebab apa?” Beliau hanya memaklumkan, ia arahan kerajaan negeri.” katanya

“Saya berpandangan, telah sampai dan ketikanya situasi seperti ini ditamatkan,” katanya.

TAGS