Exco Pemuda AMANAH Negeri Sembilan maut kemalangan lebuh raya

Exco Pemuda AMANAH Negeri Sembilan maut kemalangan lebuh raya

Exco Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Abu Hanifah Mohd Kamal meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan susur keluar Bandar Seri Putra, pagi tadi.

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Zaki Sabri memberitahu allahyarham meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan melibatkan sebuah lori yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur dan sebuah lagi kereta.

“Allahyarham merupakan seorang aktivis yang berharga kepada AMANAH Negeri Sembilan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Abu Hanifah, 35, yang merupakan Pengarah Kepimpinan Pemuda AMANAH negeri itu difahamkan dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, difahamkan tayar lori tersebut pecah sebelum menghempap kereta dipandu allahyarham dan sebuah lagi kereta.

Beliau yang juga Setiausaha AMANAH Kawasan Rasah meninggalkan seorang balu dan dua anak masing-masing lelaki dan perempuan berumur lapan dan empat tahun.

Jenazahnya akan disembahyangkan di Masjid Rasah selepas Solat Asar dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Sheikh Haji Muhammad Said, Rasah hari ini.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Negeri Sembilan melancarkan tabung kilat untuk keluarga allahyarham.

Orang ramai diseru menghulurkan sumbangan melalui akaun Bendahari di Bank Islam 05067020066798 atas nama Kamarul Muluk.

 

Kereta dipandu Allahyarham Abu Hanifah musnah dalam kemalangan dekat Bandar Seri Putra hari ini.