Malaysia Dateline

Exco saran tanam minat berniaga ikuti cara Rasulullah

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Ekonomi Kreatif dan Penerangan, Syeikh Umar Bagharib Ali menyaran rakyat supaya mengadakan alternatif yakni berniaga selain kerja makan gaji.

Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Johor itu ditemui di program lawatan ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Ad-Diniah ketika Hari Keusahawanan yang dianjurkan sekolah tersebut.

“Ini adalah suatu langkah yang baik bagi memupuk minat usahawan dalam kalangan pelajar dan ia adalah konsep berdikari yang baik serta harus diceburi.

“Perniagaan adalah objektif kami dengan mempamerkan ibrah Nabi Muhammad SAW yang asalnya merupakan tokoh usahawan yang berjaya di zaman baginda.

“Ianya suatu pilihan terbaik bagi sesetengah masyarakat di negeri ini untuk menjadikan perniagaan alternatif selain kerja makan gaji,” ujar Syeikh Umar atau lebih dikenali sebagai Bro Shake.

Beliau satu-satunya Adun DAP Melayu itu menyatakan usaha beliau untuk meningkatkan serta membantu peniaga yang berada di negeri ini.

“Pihak kami akan membantu usahawan di negeri ini agar mereka mampu berdaya saing dengan permintaan global dan ia selari dengan matlamat kami untuk membela nasib peniaga yang tidak diberi peluang sebelum ini.

“Selain itu peniaga alam maya akan dibantu untuk mampu bersaing kerana hari ini kita akui peniaga-peniaga tersebut telah mendapat sambutan yang hangat.

“Kualiti industri akan dipertingkatkan. Kita akan bantu tanpa mengira latar belakang, bangsa dan warna kulit,”katanya.